Dapat RM90 Juta, PAS Pasti Kuasai Malaysia ? Hahahahahahahahaha



Abdul Hadi Awang berhujah, PAS sudah pasti boleh menguasai keseluruhan Malaysia jika benar parti itu menerima dana bernilai RM90 juta seperti didakwa sesetengah pihak.

Pada masa sama presiden PAS itu juga menganggap Umno sebagai "sangat bodoh" jika menyerahkan dana sebanyak itu.

Menegaskan penafian panjang lebarnya, presiden PAS itu berkata, partinya memang tidak ada menerima dana sebanyak itu daripada Umno.

Menurutnya ramai orang kaya tidak bersedia untuk menyumbang kepada PAS kerana mereka tidak percaya parti itu boleh menang sehingga berjaya memerintah kerajaan pusat.

"Namun, PAS boleh bertanding dalam pilihan raya hasil derma ahlinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dan kebanyakannya bertanding di kawasan Umno.

"Tiba-tiba, PAS mampu menawan tiga buah negeri dan berada dalam kerajaan Pusat dengan langkah mengajak Umno, Bersatu dan pihak-pihak lain bersama menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang rapuh.

"Justeru, dengan RM90 juta jika benar adanya, sudah pasti membolehkan PAS menguasai negara sepenuhnya.

"Dan jika benar, Umno yang menyogok RM90 juta sangat bodoh kerana melakukan suatu perkara yang boleh membunuh dirinya sendiri," katanya hari ini.

Abdul Hadi berpandangan, dengan dana yang sebanyak itu, tentulah PAS bukan saja mampu menghadapi PH malah mengalahkan Umno yang sebelum ini menguasai seluruh negara.

Tambah duta khas bertaraf menteri itu lagi jika benar PAS menerima RM90 juta daripada Umno, tentu lebih mudah untuk parti terbabit "meranapkan PH" yang didakwanya banyak berbelanja untuk media sosial.

Sebaran itu, dakwa Abdul Hadi merupakan pembohongan dan "tidak berakidah serta ideologi" kerana ahli parti gabungan terbabit menganut pelbagai kepercayaan.

"PAS juga tidak mampu mengadakan media sosial bagi menjawabnya kerana terlalu mahal, apatah lagi untuk menyiarkan fitnah, menipu dan berbohong besar.

"Balanya tidak mampu dibayar dosanya dengan duit berkali ganda RM90 juta," katanya.

Percaya kepada pahala

Pada 6 Ogos 2016, portal Sarawak Report mendakwa PAS menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu bagi menyokong Umno dan BN menghadapi PRU.

PAS bukan saja menafikan dakwaan tersebut, malah Abdul Hadi kemudian mengambil tindakan mahkamah terhadap editor portak terbabit, Clare Rewcastle-Brown di London pada 21 Apr 2017.

Bagaimanapun pada 2 Feb 2019 Abdul Hadi sendiri memutuskan untuk menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah. Clare dilaporkan mengakui menerima bayaran berjumlah RM1.4 juta daripada Abdul Hadi bagi tujuan berkenaan.

Kata Abdul Hadi PAS mempunyai lebih sejuta ahli di 197 kawasan, selain ribuan cawangan, markas, institusi prasekolad Pusat Asihan Tunas Islam (Pasti), sekolah rendah, sebilangan sekolah menengah dan beberapa pusat pengajian tinggi.

Tambah ahli parlimen Marang itu lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah mengesahkan tiada wang sebanyak RM90 juta dimasukkan ke akaun rasmi parti.

PAS juga, katanya, sentiasa membuka pintu kepada SPRM untuk menyiasat jika ada sebarang keraguan kerana parti itu mahu bersih daripada sebarang unsur haram.

Mengenai tuduhan yang dilemparkan kepada PAS, Abdul Hadi berkata, parti itu percaya mereka mendapat ganjaran "pahala percuma" dengan fitnah dan kemarahan yang disasarkan terhadapnya.

"Hal ini kerana, ahli PAS percaya kepada kelebihan perjuangan Islam yang menjadi tugas PAS, serta janji Allah SWT yang diyakini dan diimani.

"Walau apa jua tuduhan yang dilemparkan, ahli dan pemimpin PAS tetap percaya kepada pahala yang dijanjikan Allah kerana akidah perjuangan yang menjadi pegangannya.

"Tidak seperti mereka yang berideologi bukan berakidah, atau mereka yang meletakan akidah menjadi hiasan luarnya sahaja tanpa peduli soal pahala dan dosa," katanya.

Abdul Hadi menambah, ahli PAS tidak akan menggadaikan perjuangan mereka dengan harga RM90 juta atau pangkat dan kedudukan.

"Terima kasih kepada perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) yang membuat kenyataan terbuka bahawa PAS tidak meminta jawatan dalam kerajaan seperti parti lain, tetapi menerima apa sahaja tanggungjawab mahupun jawatan yang diamanahkan" jelasnya.


Post a Comment

0 Comments