Jalan Berlubang, Lelaki Menang Saman Terhadap MPKj



Seorang lelaki dilaporkan berjaya memenangi saman terhadap pihak berkuasa tempatan selepas kenderaannya rosak teruk gara-gara terlanggar sebuah jalan yang berlubang.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Fahrurrazi Hamid telah meminta pampasan kepada  Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atas dua tayar yang rosak dan empat rim tayar yang menelan kos keseluruhan RM3,580.

Lapor FMT baru-baru ini, dia memandu pada waktu malam di Jalan Sungai Long berhampiran Taman Perniagaan Budiman pada September 2020 apabila keretanya melanggar lubang pada jalan, menyebabkan tayar dan rim kiri belakang keretanya rosak.

Namun selepas gagal mencari rim dengan reka bentuk yang sama keeseokan harinya, dia terpaksa menggantikan keempat-empat rim dan dua tayar dengan kos keseluruhan RM3,580.

Bagaimanapun apabila tuntutan difailkan kepada MPKj, pihak berkuasa tempatan hanya menawarkan RM1,430 daripada Takaful Malaysia Berhad, iaitu syarikat insurans majlis tempatan berkenaan, sebagai pampasan bagi kos satu tayar dan satu rim.

Selepas permintaan untuk jumlah disemak ditolak, dia membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna pula tetapi dimaklumkan bahawa tribunal itu tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu.

Akhirnya Fahrurrazi memfailkan tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ke mahkamah untuk mendapatkan pampasan bagi dua tayar dan empat rim tayar dan lain-lain di Mahkamah Majistret Kajang dan perbicaraan berlangsung pada 15 Julai tahun ini.

Lapor FMT lagi, di mahkamah, Fahrurrazi mewakili dirinya sendiri dan menerangkan mengapa dia terpaksa menggantikan keempat-empat rim itu dengan kos RM450 bagi setiap rim terpakai.

Katanya, rim terpakai itu lebih murah daripada empat rim baharu, yang berharga RM687.50 setiap satu, atau RM2,750 bagi kesemuanya.

MPKj yang diwakili penolong pegawai undang-undang Muhidin Mahmud menyatakan pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelenggara semua jalan d bawah bidang kuasanya dan menafikan liabiliti. Beliau mendakwa, pemanduan melulu Fahrurrazi menjadi punca kejadian, seperti yang terbukti dengan rim dan tayar yang rosak.

Walau bagaimanapun, Majistret Noor Firdaus Rosli berpihak kepadanya dengan memerintahkan MPKj menyelesaikan tuntutan sebanyak RM2,980, merangkumi kos empat rim (RM1,800), satu tayar (RM800), larasan semula camber (RM180), dan caj tunda (RM200).

MPKj juga diputuskan untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi.

“Melihat gambar daripada plaintif, memang wujud lubang,” kata Noor Firdaus dan beliau turut menambah bahawa jelas jalan itu tidak diselenggara dengan baik.

Post a Comment

0 Comments