#Ramadha Yang Sadis Keluarga Saleh - #Gaza

Azan Maghrib semakin hampir. Dalam masa beberapa minit, penduduk di Gaza akan berkumpul bersama keluarga masing-masing di meja makan untuk berbuka puasa. Ramadan bulan mulia, bulan pengampunan dan bulan mening­katkan ibadah.

Selama lebih 20 tahun Saleh Abu Aser, 36, berbangga menjalani ibadah dalam bulan itu bersama keluarganya. Namun, tahun ini berbeza. Jika Ramadan sebelum ini dia dan keluarganya berkumpul di ruang yang selesa, kini mereka duduk di atas lantai beralaskan seperah di satu-satunya ruang yang ada di bekas tapak rumah mereka yang musnah dalam serangan Israel kira-kira setahun lalu.

“Dulu, di sinilah rumah kami seluas 300 meter persegi, muat untuk 35 anggota keluarga. Kini, hanya tinggal 30 meter persegi. Yang lain, musnah,” kata Saleh sementara isterinya Dareen menyajikan hidangan berbuka puasa.

Juadah yang disajikan ringkas saja - salad, nasi dicampur dengan roti dan jus buah. Semuanya disediakan sendiri oleh Dareen yang sarat mengandung.

“Dulu, kami mempunyai dapur serba lengkap. Kini, saya terpaksa memasak di satu sudut tanpa bumbung. Dindingnya boleh runtuh bila-bila masa,” kata wanita berusia 36 tahun itu.



Jika dinding itu runtuh, keluarga Saleh tiada tempat untuk berteduh. Bagi Dareen, untuk menumpang di sekolah yang ditadbir Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan satu pilihan kerana ia antara sasaran kegemaran Israel.

Mereka pernah berlindung di sekolah itu selama beberapa bulan selepas Perang 50 Hari tahun lalu.
Peperangan itu menyebabkan 2,250 penduduk Palestin terbunuh, termasuk 551 kanak-kanak.
Dalam laporannya dua minggu lalu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, baik Israel mahupun Palestin mungkin melakukan jenayah perang.

Bagaimanapun, keadaan sebenar di Gaza nampaknya tidak me­ngubah perdebatan pemimpin ma­syarakat antarabangsa. Pembinaan semula Gaza untuk kira-kira dua juta penduduknya kelihatan seperti mimpi saja walaupun ada ikrar untuk menghulurkan bantuan.

Meskipun dalam keadaan sukar, ibu lima anak itu - Riad, 8, Tasneem, 7, Intisar, 5, Maisa, 3, dan Ibrahim, 2 tahun tetap tabah mengharungi kehidupan.

Keluarga itu tidak pernah berhenti berdoa supaya mereka bebas melakukan ibadah dengan aman di tanah tumpah darah mereka sendiri.

“Ramadan bulan penuh rahmat dan kegembiraan. Kami akan mengekalkannya demikian walaupun dalam keadaan penuh sukar dan tertekan,” kata Saleh.

Saleh mengimbas kembali Ramadan tahun lalu yang penuh dengan kepahitan dan penderitaan apabila dia kehilangan ramai orang tersayang selepas kawasan kediamannya di Shejayeh dimusnahkan kereta kebal Israel. Yang tinggal sekarang hanya harapan untuk masa depan yang lebih baik.

“Kami antara sejumlah kecil keluarga yang masih tinggal di sini. Walaupun rasa terpencil, kami tidak mempunyai pilihan lain. Masyarakat antarabangsa sekali lagi gagal membantu kami membina semula Gaza,” kata Saleh.

“Makanan ayah, makanan, makanan!” pinta anaknya Riad sambil tersenyum.

Di luar rumahnya yang hancur, Masjid Shejayeh menjadi saksi kepada kemusnahan yang dilakukan Israel. Pada tahun-tahun sebelum ini, masjid berkenaan sentiasa sesak dengan jemaah. Namun sejak tahun lalu, masjid itu tidak boleh lagi menjadi tempat berkumpul.

Euromid Observers - kumpulan hak asasi manusia yang berpejabat di Gaza dan Geneva - berkata, 171 masjid musnah, 61 daripadanya dibom berulang kali dalam serangan udara Israel sepanjang Perang 50 Hari.

“Tahun ini, kami tidak dapat merasai nikmat Ramadan,” kata seorang kanak-kanak yang lalu di situ.

Jiran Saleh, Ahmad Emish, 35, kelihatan mengambil angin segar selepas berbuka, di bekas tapak rumahnya.

“Saya rindukan rumah lama saya. Saya rindukan ladang ayam saya tetapi semuanya sudah musnah,” kata bapa empat anak itu.

Sebelum perang, dia sering menderma kepada mereka yang tidak bernasib baik. Namun kini, dia dan keluarganya pula terpaksa bergantung kepada sumbangan orang ramai.

(Hmetro)

Post a Comment

3 Comments

  1. nanti parti GBH harta memorandum pada israel

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by a blog administrator.

      Delete
  2. ahli sunnah WAJIB TERAJANG Syiah dari MENGGENGGAM Pas! Syiah saudara kembar dengan Amerika dan berkiblatkan Israel. Siapa yg lebih Israel, GHB atau PAS?

    ReplyDelete