Lebih baik anggota kabinet BN meletak jawatan kerana 1MDB dan derma RM2.6 bilion diterima Datuk Seri Najib Razak berbanding isu hudud, kata Tony Pua.
Anggota parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata tindakan "menunjuk-nunjuk" di kalangan pemimpin komponen BN berhubung rang undang-undang persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak kelihatan ketika isu 1MDB dan RM2.6 bilion dibangkitkan.
Keadaan itu, kata Pua, berlaku walaupun ketua audit negara mendapati pihaknya gagal mengesahkan apa berlaku ke atas transaksi AS$7 bilion, aset dan wang tunai 1MDB di luar negara.
"Jika pemimpin BN ini serius dengan kata dua mereka untuk meletak jawatan (dalam isu hudud), mengapa mereka tidak bertindak seperti itu dalam isu 1MDB dan skandal derma Najib?
"Adakah MCA, Gerakan, MIC, Upko, SUPP dan PBB boleh terus menyokong seorang perdana menteri yang dituduh secara langsung menyelewengkan berbilion-bilion dolar dari 1MDB yang juga anak syarikat Kementerian Kewangan?"Sejak Abdul Hadi - yang juga presiden PAS - membentangkan usul persendirian di Dewan Rakyat bagi meminda Akta 355 Perlembagaan Persekutuan beberapa pemimpin parti komponen BN menyatakan hasrat mereka meletak jawatan jika ia diluluskan.
Kata Abdul Hadi usul berkenaan dibawa untuk memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah di Kelantan.
Najib pula mengakui wujud "salah faham" di kalangan parti komponen BN mengenai rang undang-undang persendirian dibawa Abdul Hadi pada 27 Mei lalu.
Katanya, apa yang dibentangkan Abdul Hadi bukan undang-undang hudud tetapi pindaan yang menjurus ke arah pemerkasaan sistem hukuman yang tertakluk di bawah Mahkamah Syariah.
Menurut Pua Malaysia kini dikenali di dunia sebagai negara "kleptokrasi".
"Jika pemimpin BN yang menunjuk-nunjuk itu tidak meletak jawatan ekoran kecurian berbilion dolar dari pembayar cukai di Malaysia, maka ancaman mereka (dalam isu hudud) jelas sekadar mengurangkan kesan kerosakan akibat kemesraan hubungan antara Umno dan PAS,"Kleptokrasi merujuk kepada cara pentadbiran sesebuah kerajaan yang menghadapi masalah kronik tertentu disebabkan kegagalan sistem dengan pegawai awam atau kelas pemerintah yang menggunakan rasuah untuk menambah kekayaan peribadi serta kuasa politik mereka. (FMT)
1 Comments
Ape semua ni?
ReplyDelete