Janji Trump Bersama Israel Bakal Memusnahkan Umat Islam Baitulmaqdis


Calon parti Republik, Donald Trump, berjanji pada Ahad dalam sebuah pertemuan bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel tanpa dikongsi dengan sesiapapun, sekiranya beliau terpilih menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS).

Netanyahu bertemu Trump di kediamannya di Trump Tower sehari sebelum Trump berentap melawan pesaing parti Demokratik Hillary Clinton bagi debat presiden pertama mereka, lapor AFP.
“Trump sedia maklum bahawa Jerusalem (Baitulmaqdis) telah menjadi ibu kota kepada orang Yahudi lebih daripada 3,000 tahun. AS di bawah pemerintahan Trump, akan menerima mandat kongres yang selama ini tertangguh untuk menerima dan mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota yang tidak terbahagi dalam wilayah Israel,” ujar beliau dalam sebuah kenyataan kempen.
Israel telah menawan sebelah timur Baitulmaqdis sewaktu perang Arab-Israel pada 1967 dan membuat penambahan pada 1980, serta mengisytiharkan seluruh wilayah Baitulmaqdis sebagai ibu kota penyatuan Israel.

AS dan kebanyakan negara dari keahlian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf pemilikan tersebut dan menganggap status akhir Baitulmaqdis sebagai isu utama yang perlu diselesaikan dalam rundingan damai bersama Palestin.

Kongres AS telah meluluskan undang-undang pada Oktober 1995 yang memohon supaya Baitulmaqdis diiktiraf sebagai ibu kota Israel, selain meluluskan dana untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Namun, tiada Presiden AS, baik dari parti Demokratik mahupun Republik, yang sudah melaksanakan undang-undang tersebut kerana menganggap ia di luar cabang eksekutif tentang polisi asing.

Pejabat Netanyahu telah mengeluarkan kenyataan mengenai pertemuan dengan Trump yang berlangsung selama kira-kira satu jam tersebut, namun tidak menyebut tentang janji Trump.

“Netanyahu telah berbincang bersama Trump berkenaaan isu-isu berkaitan keselamatan Israel dan usaha-usaha bagi mencapai kestabilan dan keamanan di Asia Barat,” ujar beliau.

Kenyataan Trump pula menyatakan, pihaknya telah berjanji kepada Netanyahu bahawa AS akan membekalkan Israel dengan 'strategi luar biasa, kerjasama teknologi dan tentera' sekiranya beliau dipilih sebagai Presiden.
“Trump telah mengakui Israel sebagai rakan kerjasama yang penting bagi AS dalam peperangan menentang keganasan kumpulan radikal. Mereka berbincang mengenai urus janji nuklear bersama Iran, perlawanan menentang Daish dan isu-isu keselamatan serantau,” tambahnya lagi.
Kempen itu juga dikatakan berbincang mengenai pengalaman Israel dengan tembok keselamatan yang dahulunya memisahkan Israel dari Tebing Barat.

Dalam hal lain, salah satu daripada janji kempen Trump adalah untuk membina tembok di sepanjang sempadan Amerika-Mexico.

Post a Comment

0 Comments