Kenapa Tun Mahathir Tidak Membuat Permohonan Maaf Secara Terbuka Terhadap Anwar Ibrahim ?


Anak perempuan kedua Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha, mahu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan lampau terhadap bapanya yang kini sedang meringkuk di penjara.

Portal The Malay Mail Online memetik Nurul Nuha sebagai berkata bahawa Mahathir mesti bertanggungjawab terhadap rekayasa dakwaan rasuah dan liwat terhadap Anwar pada tahun 1998 sebelum berfikir tentang membentuk sebarang pakatan dengan PKR melalui parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
"Sebagai seorang anak gadis yang menyaksikan azab yang tidak terkira bapa saya lalui 18 tahun yang lalu, hasrat peribadi saya adalah supaya Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka dan mengakui dakwaan berkenaan adalah rekaan. Saya rasa ini akan mengurangkan penderitaan yang kami lalui sebagai sebuah keluarga. Ia bukannya akan menjadi lebih mudah, tetapi kamu perlu menjadi lebih kuat," kata Nurul Nuha yang menyelaras kempen keluarga untuk membebaskan Anwar.
Pada 5 September lalu, Mahathir tampil di mahkamah untuk menyokong usaha Anwar untuk mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Kedua-dua pemimpin, bagaimanapun, tidak berterus terang sama ada langkah itu akan menyaksikan kerjasama baru mereka selepas Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 2 September 1998.

Anwar kemudiannya dipenjarakan atas tuduhan liwat dan rasuah, yang menurut keluarganya adalah pertuduhan berasakan politik.

"Saya senada dengan kata-kata ayah, kita maafkan tetapi kita jangan lupa," kata portal itu yang memetik Nurul Nuha.

Beliau juga berkata keluarganya akan menghormati sebarang keputusan Anwar mengenai hubungannya dengan Mahathir sekarang.
"Seperti yang saya katakan, bagi saya, Dr Mahathir hadir di mahkamah adalah petanda bahawa beliau mengakui kesilapannya dalam konspirasi dan ini satu permulaan yang baik. Bagaimanapun, kami akan menyokong segala keputusan yang ayah buat," katanya.

MK

Post a Comment

0 Comments