Rafizi : Mungkin Projek Taman Tugu Dana BN Hadapi #PRU14


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini melahirkan kebimbangannya bahawa projek Taman Tugu mungkin digunakan untuk mengumpul dana bagi BN menjelang pilihan raya umum ke-14.

Katanya, dana RM500 juta daripada projek bernilai RM650 juta itu akan dibiayai oleh Khazanah Nasional Berhad dan prihatin dengan kos harga yang begitu tinggi itu.
“Saya khuatir projek ini tidak lebih dari projek untuk menjana dana bagi pihak-pihak berkepentingan yang akhirnya akan disalurkan kembali kepada kempen Umno/BN dalam pilihanraya umum 14 (PRU14) nanti,” katanya dalam satu kenyataan media.
Rafizi, yang juga adalah naib presiden PKR berkata BN tidak mungkin menerima sumbangan atau "derma" berbilion ringgit seperti pada pilihan raya umum lalu sehingga mencetuskan skandal 1MDB yang kini menjadi subjek siasatan global.

“Umum mengetahui bahawa belanja menguruskan kempen yang ditanggung oleh Umno/BN dalam sesuatu pilihanraya umum boleh mencecah berbilion ringgit.
“Jika dalam PRU13 Datuk Seri Najib Razak mengaku menerima derma RM2.6 bilion, saya tidak yakin beliau akan begitu bernasib baik untuk menerima derma yang sebesar itu menjelang PRU14,” katanya.
Menjelaskan modus operandi di mana dana disalurkan daripada syarikat-syarikat milik negara, Rafizi berkata, ini dilakukan dengan menaikkan harga projek-projek pembinaan dan naik taraf yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

“Projek-projek yang kosnya tidak seberapa kemudian akan dilipatgandakan nilainya dan dianugerahkan kepada kontraktor tertentu .

“Keuntungan yang berlipatganda itu kemudian “didermakan” balik kepada pimpinan atau badan tertentu menjelang PRU14,” katanya.

Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan berkata projek Taman Tugu mungkin terdedah dengan risiko seumpama itu dan menggesa perdana menteri memberi jaminan bahawa ini tidak akan berlaku.

Beliau berkata antara langkah-langkah yang diperlukan adalah satu proses ukur bahan (quantity survey) secara terbuka dan telus untuk menentukan kos sebenar kerja-kerja berkenaan.

Seterusnya, proses bidaan tender bagi setiap pakej dibuat secara terbuka, telus dan boleh diteliti secara terperinci oleh rakyat.

Mereka juga, katanya mesti bersetuju membuat pengisytiharan terperinci (detailed disclosure) yang menunjukkan pemilikan dan aliran wang.
“Sekiranya beliau gagal memberi jaminan ini, maka saya akan mengambil pendirian untuk menentang projek ini dan akan mula menggerakkan kempen tersusun menghalangnya. Saya akan mulakan dengan mengumpul satu pasukan juruukur bahan (quantity surveyor) sukarela yang akan mula meneliti kos sebenar bagi kerja-kerja di atas,” katanya.

MK
Rafizi : Mungkin Projek Taman Tugu Dana BN Hadapi #PRU14 Rafizi : Mungkin Projek Taman Tugu Dana BN Hadapi #PRU14 Reviewed by BANkami Blog on September 06, 2016 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.