SGSecure Aplikasi Banteras Jenayah Singapore


Perdana Menteri Lee Hsien Loong melancarkan aplikasi mudah alih yang membolehkan polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menghantar makluman penting kepada orang awam semasa serangan pengganas atau kecemasan serius lain, semalam.

Berita Harian Singapura melaporkan aplikasi SGSecure itu bertindak sebagai portal sehenti bagi orang awam memuat turun maklumat mengenai usaha anti keganasan dan menerima makluman ketika kecemasan besar-besaran berlaku di Singapura.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) republik itu berkata aplikasi berkenaan bertujuan menambahkan keupayaan makluman awam seperti sistem amaran awam, dan akan menyediakan maklumat serta bimbingan kepada orang awam jika insiden besar-besaran seperti serangan pengganas atau kebakaran besar berlaku.

Menerusi aplikasi itu, orang awam boleh menerima makluman ringkas di telefon bimbit masing-masing menerusi satu wadah penyiaran mesej pusat selain boleh menggunakannya untuk menghantar maklumat kepada pihak berkuasa kecemasan.

MHA berkata orang ramai juga boleh menghidupkan fungsi GPS di telefon bimbit mereka untuk membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti lokasi mereka sekiranya sedang bersembunyi atau terperangkap.

Semua maklumat yang dikumpulkan menerusi aplikasi itu akan digunakan ketika menjalankan siasatan selepas insiden itu.

Aplikasi itu juga mengandungi maklumat, video dan info grafik topik seperti cara menjaga keselamatan diri ketika kecemasan berlaku, mengenal pasti kelakuan mencurigakan dan kemahiran kecemasan.

Sehubungan itu, akhbar harian itu berkata warga Singapura digalakkan memuat naik dan membiasakan diri dengan SGSecure, dan menggunakannya sebagai alat bantuan utama semasa kecemasan besar-besaran.
SGSecure boleh dimuat naik di laman Google Play dan iOS. Pendaftaran tidak perlu dilakukan.

FMT

Post a Comment

1 Comments