Ganjaran RM4.2Juta Pada Sesiapa Dedahkan Skandal Donald Trump


Penerbit filem, Larry Flynt mengumumkan ganjaran berjumlah AS$1 juta (RM4.2 juta) bagi setiap pendedahan klip video skandal membabitkan calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump.

Flynt berkata, wang tersebut akan dibayar kepada individu yang mempunyai rakaman video atau audio menunjukkan Trump terlibat dalam sebarang aktiviti haram atau perlakuan sumbang terhadap golongan wanita.

Menurutnya, pendedahan video tersebut bertujuan untuk memaparkan sikap sebenar Trump kepada rakyat AS sebelum pilihan raya berlangsung 8 November ini.
“Saya sentiasa meraikan wani­ta tanpa mengira rupa paras mereka. Namun, melayan seorang wanita seper­ti dilakukan Trump adalah amat mengecewakan dan sukar dipercayai, terutama apabila tindakan itu datang daripada beliau yang merupakan seorang calon Presi­den,” katanya dalam satu kenyataan.
Flynt sebelum ini pernah membuat tawaran sama pada 2007 dan 1998 bagi menentang pegawai-pegawai kerajaan yang disifatkan sebagai hipokrit kerana cuba menafikan perlakuan sumbang mereka di depan masyarakat.

Minggu lalu, Trump dihujani pelbagai tuduhan serangan seksual apabila beberapa wanita tampil membuat pengakuan bahawa mereka pernah disentuh secara paksa oleh hartawan berkenaan walaupun beliau berusaha menafikannya.

Kedudukannya sebagai calon Pesiden juga semakin goyah selepas pendedahan satu rakaman audio pada 2005 yang menun­jukkan Trump bercakap besar bahawa beliau boleh melepaskan diri meskipun membuat salah kerana dirinya terkenal.

Pendedahan itu bertenta­ngan dengan pengakuannya yang tidak pernah menyentuh mana-mana wanita tanpa kebenaran ketika sesi debat umum bersama calon Presiden daripada Parti Demokrat, Hillary Clinton pada Ahad lalu.

– AFP.

Post a Comment

0 Comments