Ekonomi Terengganu Semakin Lembap


Di kala usaha PAS yang berkubu kuat di negeri ini menjalankan kempen mendapatkan sokongan terhadap rang undang-undang membolehkan pesalah syariah dijatuhkan hukuman berat, rakyat Terengganu berdepan dengan realiti ekonomi yang lembap.

Malah, di ibu negeri yang pernah sibuk satu masa dulu, premis perniagaan melaporkan keuntungan semakin merosot, dengan beberapa pusat membeli-belah dilihat lengang.

Begitu juga pusat beli-belah utama di bandar ini, Pasar Payang, yang umpama dilanggar garuda, tidak bersesak-sesak seperti sebelum ini.

Buah duku Terengganu yang selama ini menjadi tarikan utama di musim buah-buahan juga seolah-olah tidak ada harga pada musim kali ini.

“Kami harapkan musim cuti sekolah sahaja sekarang. Itu pun tidak semeriah dulu lagi. Mereka kata tidak ada duit sekarang,” kata seorang pemilik kedai menjual barangan batik di Pasar Payang ketika ditemui FMT.

Pemilik restoran yang terdapat di atas Pasar Payang juga mengesahkan fenomena itu. Malah pada waktu makan tengahari, hanya 2 meja sahaja yang ada pelanggan dalam restorannya, yang berada di tempat sangat strategik dengan pemandangan muara sungai Terengganu yang cantik itu.

“Kami harapkan musim cuti sekolah saja,” kata beliau kepada FMT.

Kesan kelembapan ekonomi Terengganu turut dirasai dalam bidang hartanah. Pembinaan rumah terhenti akibat tidak ada pelanggan yang mahu membeli rumah yang dibina selepas pihak bank mengetatkan pinjaman mereka.

“Buat masa ini kami menghentikan pembinaan projek baru. Cuba jaga projek lama saja. Pembeli susah sekarang kerana bank sukar bagi pinjaman,” kata Yusof Abdul Rahman, seorang pemaju perumahan di Kuala Terengganu.

“Boleh kata tidak ada lagi pinjaman dari bank sekarang,” kata beliau ekoran tindakan bank mengetatkan syarat pinjaman perumahan mereka.

Menurut Yusof, kalau ada pinjaman yang diluluskan pun hanya kepada kakitangan kerajaan sahaja kerana bank bimbang memberi pinjaman kepada kakitangan swasta ekoran nasib yang tidak menentu kepada ekonomi negara.

Sesetengah pihak di Terengganu menyalahkan fenomena ini kepada parti politik di Terengganu yang tidak lagi menjadikan keperluan rakyat sebagai sebahagian perjuangan mereka.

“Harapkan PAS, sibuk dengan RUU mereka sahaja,” kata seorang pemilik sebuah kedai jam di Kuala Terengganu, merujuk usaha PAS meluluskan rang undang-undang bagi membolehkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat.

Beliau antara yang tertekan akibat masalah kelembapan ekonomi di Kuala Terengganu sekarang.

“Saya memerlukan kira-kira RM1,500 sehari jualan untuk menampung segala keperluan saya. Jika tidak, susah. Sekarang nak dapat RM1,000 sehari pun susah,” katanya yang pernah menyokong dan bekerja untuk PAS selama lebih 20 tahun.

“PAS yang dulu sudah tidak ada sekarang,” kata beliau merujuk kepada sikap PAS negeri, yang menurutnya obses dengan cadangan RUU Syariah yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Ahli Parlimen Marang di Terengganu.

Bagi Amanah negeri, PAS sepatutnya menumpukan soal ekonomi.

“Sepatutnya masa ini kita usaha jatuhkan kerajaan pusat untuk pulihkan ekonomi negara, tetapi PAS sibuk kempen sokong RUU,” kata Mohd Zubir Mohamad, salah seorang pemimpin Amanah Terengganu.

Beberapa hari lepas, menjelang persidangan Dewan Rakyat, pemimpin PAS Terengganu mengadakan kempen mereka di Pantai Batu Buruk bagi menyokong RUU Hadi.

Bagaimanapun, ramai menganggap ia jauh berbeza dengan realiti keperluan masyarakat yang sedang tertekan dengan masalah hidup ekoran ekonomi yang tidak berapa baik.

Menurut Zubir, apabila PAS tidak lagi bersama pembangkang lain dan dilihat berkawan baik dengan pemimpin negara, ia sudah tidak lagi menjadi pembela rakyat.

“Ia semata-mata kerana percaya kepada janji manis Umno untuk menyokong RUU mereka,” kata Zubir.

FMT

Post a Comment

0 Comments