MB Trg Tidak Boleh Terima Kenyataan ......


Berita yang diviralkan kononnya satu daripada setiap empat rakyat Terengganu mengalami sakit mental adalah tidak benar, kata Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata jumlah tersebut sebenarnya merujuk kepada masalah kesihatan mental seperti kerunsingan dan tekanan.
"Ini adalah dua perkara yang berbeza di mana sakit mental ialah gila dan mereka yang menghidapinya perlu mengambil ubat manakala masalah kesihatan mental pula biasa dihadapi ramai orang. 
"Jadi, bukanlah bermaksud setiap empat daripada rakyat, seorang tu kena ambil ubat sebab sakit mental (gila) bukan macam tu, ini tidak logik... sebab ini bidang saya, bidang psikologi, saya terkejut dengar. Kalau betul macam ni untunglah, saya boleh buka klinik sebab saya ada lesen," katanya berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai salah faham terhadap laporan akhbar yang dipetik menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud dalam satu majlis baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga pemegang Ijazah Sarjana Sains (Kaunseling) dari Universiti Putra Malaysia berkata masalah kesihatan mental seperti kerunsingan dan stres juga berpunca daripada tekanan hidup ketika ini seperti kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.
"Memang ada kalanya, seseorang itu akan menghadapi 'ketidakwarasan dalam seketika' disebabkan tekanan yang terlalu tinggi, seperti yang berlaku baru-baru ini (kes tikam bakal abang ipar), begitu juga dalam perceraian... ketika tak sedar lafaz cerai dan bila sedar, baru rasa menyesal. 
"Inilah yang sedang kita laksanakan di mana Terengganu telah menetapkan hala tuju transformasi ekonomi dengan jelas untuk dinikmati setiap rakyat menjelang tahun 2020 nanti" katanya. 
Terdahulu, beliau merasmikan Gallery Walk di Wisma Darul Iman yang memaparkan hala tuju dan pelbagai projek pembangunan yang bakal dilakukan sehingga 2020 hasil rumusan Makmal Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu yang dilaksanakan awal tahun ini.

- Bernama

Post a Comment

0 Comments