TRW Buntu, QuPuteh Tangguh Tajaan RM8 Juta


Ketika pasukan negeri lain sibuk memikirkan pemain mana untuk dibeli bagi mengukuhkan saingan, Kelantan pula masih terkial-kial mencari penaja utama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Berbaki kira-kira tiga bulan, Kelantan masih tidak mempunyai sebarang penaja untuk membentuk pasukan sekali gus membuatkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) semakin buntu.

Pemangku Presiden KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, disebabkan kos pengurusan pasukan semakin meningkat, pihaknya sedang memikirkan pelbagai cara untuk mendapatkan sumber kewangan

Katanya, mereka berharap pihak berkemampuan terutama anak jati Kelantan dan kerajaan negeri dapat membantu pasukan bagi menghadapi saingan musim depan.
“Kita perlukan kira-kira RM15 juta untuk membentuk pasukan dan jaminan diberikan Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa sebanyak RM3 juta tidak mencukupi.
“Pada masa sama, kita juga sedang berusaha membuat persiapan (membentuk pasukan) dengan kudrat (kemampuan) yang ada sementara menunggu pihak berminat membantu KAFA,” katanya.
Kem Kelantan semakin goyah apabila Annuar tetap dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan selaku presiden manakala penaja utama Vida Beauty Sdn Bhd pula mahu menangguhkan tajaan RM8 juta yang sepatutnya digunakan musim depan.

Menurut Afandi, banyak perkara yang perlu dilakukan KAFA terutama isu perlantikan ketua jurulatih baharu dan juga kontrak pemain untuk musim depan.
“Pihak kami serius dengan keputusan mesyuarat jawatankuasa KAFA, minggu lalu iaitu mengalu-alukan peralihan kuasa kepada pihak berkemampuan.
“Masa semakin suntuk kerana kita perlu membentuk dan memantapkan pasukan seberapa segera kerana pasukan negeri lain sedang bersemangat melakukan persiapan disebabkan mereka ada penaja,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor pula berkata, selain membuka peluang kepada beberapa jurulatih baru untuk membimbing Kelantan musim depan, pihaknya turut menawarkan kontrak kepada bekas jurulatih MoF FC Zahasmi Ismail.
“Apapun, segala keputusan bergantung kepadanya dan pihak kami berharap Zahasmi dapat mempertimbangkan tawaran itu bagi memartabatkan semula maruah Kelantan,” katanya
HM 

Post a Comment

0 Comments