Tukar Lift Hospital Sarawak 1 Tahun 2 Bulan ?


Tak masuk akal kerja menukar lif di Hospital Umum Sarawak mengambil masa lebih setahun, kata Pengerusi DAP Chong Chieng Jen.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti negeri, Chieng Jen berkata penangguhan itu contoh
“pengurusan wang pembayar cukai yang lemah”.
“Semasa melawat hospital, saya dapati lif ke wad barah perlu ditukar dan masa yang diambil untuk menukar lif itu, menurut papan tanda di situ, 1 tahun 2 bulan.”
Chieng Jen berkata papan tanda itu menunjukkan kerja menukar lif dimulakan pada 4 April dan dijangka selesai 7 Jun tahun depan.
“Sangat melucukan. Kamu tak perlu ambil masa yang begitu lama untuk tukar 1 lif. Mungkin hanya 2 atau 3 bulan.”
Chieng Jen berkata hospital itu turut menghadapi masalah kekurangan parkir untuk pelawat.
“Hospital perlukan parkir bertingkat. Ia perlukan parkir bertingkat sejak 10 tahun lalu. Isu ini sudah melepasi 3 pilihan raya.”
Beliau mengkritik cadangan pembaikan hospital bernilai RM378 juta yang juga akan membina hotel bajet 160 bilik.
“Penghujung ceritanya, kita perlukan parkir. Kerajaan hanya mahu tambah pusat jagaan, pusat patologi dan sebuah hotel murah, yang menyebabkan kos melonjak naik.”
Chieng Jen menganggarkan parkir untuk 1,700 kenderaan hanya akan menelan belanja RM40 juta.
“Kos melampau itu sangat tidak munasabah. Terutamanya apabila kamu bandingkan kos pembinaan hospital KPJ di Stampin. Hospital 300 katil itu akan dibina dari kosong.
“Hanya RM170 juta diperlukan untuk membina keseluruhan blok hospital, termasuk kelengkapan merawat barah yang canggih.
“Dengan RM378 juta, kamu boleh bina lebih dari hospital canggih 300 katil.”Chieng Jen turut mengkritik pelancaran semula wad penjagaan paliatif oleh menteri kerajaan tempatan Dr Sim Kui Hian pada Ahad.
“Pelancaran semula yang tidak diperlukan. Dr Sim tiada kerja lain kah? Mengapa beliau lancarkan sesuatu yang sudah beroperasi lebih 10 tahun lalu?”
Beliau turut menyangkal laporan yang melaporkan operasi pusat penjagaan penghidap penyakit yang membawa maut itu terhenti selama 5 tahun kerana ketiadaan dana.
“Tidak ada henti operasi 5 tahun. Ia terus beroperasi selama ini,” kata Chieng Jen, yang berkata unit penjagaan paliatf terima anugerah daripada Persatuan Perubatan Onkologi Eropah (Esmo) pada 2009.
FMT cuba menghubungi unit penjagaan paliatif, radioterapi dan onkologi untuk penentusahan.
Bulan lepas, seorang wanita melahirkan seorang bayi lelaki semasa terperangkap dalam lif di hospital umum Sarawak. Beliau dan anaknya berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Lintang.

FMT

Post a Comment

0 Comments