MARA Jual Tanah Di Melbourne Untuk Bayar Hutang Kepada 2 Bank Di Australia !



Cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Mara Incorporated telah menjual salah satu daripada empat hartanahnya di Melbourne dan keuntungan itu digunakan untuk membayar hutang kepada dua bank di Australia.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi MARA Datuk Seri Annuar Musa pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
"Saya bangga untuk umumkan bahawa kami telah menjual salah satu daripada hartanah (di Melbourne) kerana saya mahu mereka menyelesaikan hutang mereka.

"Jualan itu dilakukan beberapa bulan lalu dan kita telah menggunakan semua hasil untuk membayar pinjaman yang diperolehi daripada dua bank di Australia," katanya.
Annuar berkata, keputusan itu dibuat untuk mengelakkan Mara Inc menanggung paras hutang yang tinggi.

"Jadi kami ambil keputusan mencairkan aset dengan menjual satu daripada empat hartanah itu, yang dijalankan melalui tender terbuka dan diuruskan oleh sebuah syarikat asing (Australia)," katanya.


Bekerjasama dengan SPRM

Annuar enggan mendedahkan maklumat lanjut berhubung penjualan itu, termasuk nama hartanah dan harganya.

Beliau berkata kerjasama penuh telah diberikan berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas sektor hartanah Mara Inc di Melbourne.

Hartanah Mara Inc di Melbourne menjadi tajuk utama pada bulan Jun 2015 berikutan laporan sebuah akhbar Australia, The Age, yang mendakwa syarikat itu telah membeli blok pangsapuri lima tingkat, Dudley House, pada harga yang melambung.

Akhbar itu mendakwa "sekumpulan pegawai Malaysia yang sangat kaya" telah terlebih bayar AS$ 4.75 juta (RM13.8 juta) untuk membeli blok apartmen itu pada tahun 2013 - dan lebihannya disalurkan semula ke Malaysia sebagai sogokan untuk pegawai Malaysia.

Semua empat hartanah Mara Inc di Melbourne dilaporkan diperolehi antara 2012 dan 2013.

MK

Post a Comment

0 Comments