Sekatan Trump | Pelajar Semakin Minat Terhadap Pengajian Islam


Pensyarah pengajian agama di universiti AS berkata minat pelajar terhadap pengajian Islam dan Timur Tengah meningkat setiap kali berlakunya peralihan kuasa politik di AS.

Perintah sekatan yang dikenakan Presiden Donald Trump terhadap Islam di Amerika Syarikat (AS) dijangka bakal merancakkan minat orang ramai terutama di peringkat universiti di negara itu untuk lebih mengenali Islam.

Pensyarah pengajian agama di Leeds Trinity University, Anna Piela dalam satu artikelnya di blog kendalian Times Higher Education berkata beberapa ahli akademik menjangkakan minat pelajar terhadap pengajian Islam dan Timur Tengah akan meningkat setiap kali berlakunya peralihan kuasa politik di AS.

Trump menandatangani arahan sekatan sementara yang berkuat kuasa serta-merta menghalang rakyat dari 7 negara majoriti Islam memasuki AS, hanya seminggu selepas memegang White House.

Tindakannya itu mencetuskan kekecohan di lapangan terbang AS di mana ribuan orang tidak dibenarkan masuk dan disuruh pulang. Dalam masa sama, masyarakat umum di seluruh dunia menyatakan sokongan kepada umat Islam, dengan ramai individu terkemuka mengutuk pentadbiran baharu Trump.

Piela berkata meskipun Islamofobia mula melanda AS pasca insiden 9/11, ramai rakyat di negara itu berharap untuk tahu lebih banyak mengenai Islam, terutama mengenai masyarakat Islam di AS sendiri.

Dalam artikelnya, Piela memetik profesor madya pengajian antropologi dan silang budaya di University of Houston-Clear Lake Texas, Maria Curtis sebagai berkata setakat ini beliau mempunyai 22 pelajar berdaftar dalam kelas pengajian Islam di Amerika.

“Pelajar yang berdaftar dalam kelas Curtis berharap untuk tahu lebih banyak mengenai akar umbi Islam di Amerika dan mereka sangat teruja hendak tahu berapa dalamnya akar itu di AS,” katanya dipetik daripada Times Higher Education.

Beliau berkata Curtis menyimpulkan yang meskipun ramai menyalahkan Trump, Islam sebenarnya “mencabar pluralisme rakyat AS selama ini”.
“Ia memang ada di situ sebagai penanda aras untuk segala-galanya, bertanya soalan ‘apa had pluralisme AS?
“Dan kita dapati ada pelbagai contoh dan respons, dengan ada yang berfikiran lurus dan toleransi, dan sebahagian lagi siap sedia untuk menolak semua ‘Mohammedans’ ke dalam api bersama ahli sihir, penjenayah, orang tak percaya agama dan sesiapa saja di luar alam Protestan,” katanya.
Charles Kurzman dan Carl W. Ernst dari University of North Carolina di Chapel Hill dalam satu kertas kerja bertajuk Pengajian Islam di Universiti AS pada 2012 turut menyatakan peningkatan minat terhadap Islam di institusi pengajian tinggi AS bermula sejak 2011.

Piela berkata hasil dapatan kajian 2 pensyarah itu mendapati sejumlah besar disertasi dan artikel akademik mengenai Islam dihasilkan dengan fakulti pengkhususan dalam Islam berkembang pesat.

“Ini selaras dengan peningkatan fokus media yang mensensasikan masyarakat Islam,” katanya dalam artikel itu.

Piela berkata 2 pensyarah itu mendapati tumpuan luas itu terdorong daripada ketakutan ancaman keselamatan yang berlebihan dan bidang itu didapati memberi manfaat kepada umat Islam dan juga bukan Islam yang paranoid.

Subjek berkaitan Islam berdepan bantahan daripada beberapa organisasi evangelis Kristian membantah ajaran Islam yang tidak menunjukkan ia sebagai agama pengganas.

Pada 2002, organisasi Family Policy Network (FPN) memfailkan saman terhadap University of North Carolina Chapel Hill untuk menghalang teks akademik mengenai Al-Quran menjadi sebahagian bahan pelajaran dalam program induksi musim panas, tetapi FPN kalah dalam tuntutan itu.

FMT

Post a Comment

0 Comments