Sultan Johor - " Awak Rasa Bumiputera Mampu? "


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menganggap pelaksanaan kuota Bumiputera bagi pembelian rumah mampu milik di seluruh negeri itu akan menghalang kewujudan bangunan yang canggih.

Dalam satu sesi wawancara khas bersama agensi media di bawah Media Prima, Sultan Ibrahim juga tidak peduli siapa yang akan membeli unit hartanah mewah di negeri itu.
"Kadang-kadang kuota Bumiputera ini tak boleh pakai, saya bagi satu contoh. Memang kuota Bumiputera ini untuk orang Melayu, jikalau semua sekali kuota Bumiputera rumah mampu milik seluruh Johor, Johor tak akan ada bangunan yang canggih.

"Contoh katakan di Johor Bahru nak buat hotel lima bintang, tujuh bintang, kondominium lima dan tujuh bintang, selepas itu awak kenakan kuota Bumiputera.

"Matilah pemaju tak boleh jual. Dia sebelum buat dia dah fikir nak jual kepada siapa dan pada saya... saya tak kisah siapa nak beli," dipetik dari akhbar Berita Harian hari ini.
Titah baginda, syarat Bumiputera tersebut perlu dilonggarkan memandangkan Bumiputera tidak mampu untuk memiliki unit yang menjadi bangunan ikonik jika dibina di ibu negeri itu.
"Awak rasa Bumiputera mampu? Tak. Macam mana nak mampu, hotel tujuh bintang pun dia tak boleh masuk," titahnya ketika ditemubual di Istana Flinstone, Mersing.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim mengakui tentang status hak milik kekal di Forest City yang menyaksikan kerajaan menerima kira-kira RM200 juta bagi menukar status tanah projek raksasa itu.
"Bukan sahaja untuk orang di negara China sekarang tetapi konsep kita dah tukar kita menuju tahap antarabangsa. Pasal nama Johor dah terkenal di mata dunia," titahnya lagi dalam temubual sempena Hari Keputeraan baginda, 23 Mac ini.
Sehubungan itu, baginda menggesa semua pihak termasuk parti pembangkang bekerjasama bagi menjadikan Johor Bahru sebagai lokasi paling selesa diduduki bangsa asing mengatasi rekod yang dipegang Kuala Lumpur pada masa ini.
"Hairan tak Johor Bahru jatuh nombor tiga? Saya nak Johor Bahru jadi nombor satu lebih dari KL. Nak benda itu boleh buat tetapi kita semua mesti sepakat macam mana nak memajukan negeri Johor.
"Tetapi kalau ada tekanan politik di sana, ni tak boleh. Pembangkang kata tak boleh, itu tak boleh, jangan fikir majulah fikir mundurlah tu," titah Sultan Ibrahim lagi.

MD

Post a Comment

0 Comments