Perihal Siti Aishah Yang Ditahan Dibawah Akta Sosma


Beberapa judul buku yang didakwa disimpan Siti Noor Aishah Atam, wanita yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma, mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan militan Al-Qaeda.

Daripada 12 buku yang didakwa dimiliki Aishah, 5 daripadanya ditulis sendiri pengikut kumpulan Al-Qaeda, dan ada di antaranya nukilan Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda yang satu ketika dulu orang paling dikehendaki Amerika Syarikat sehingga beliau terbunuh dalam operasi di Pakistan pada 2011.

Bagaimanapun, sehingga kini, buku tersebut tidak pernah disenarai hitam atau diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Antara judul itu adalah :
  • “Visi Politik Gerakan Jihad”, 
  • “Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi”, 
  • “Dari Usama Kepada Para Aktivis”, 
  • “Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda”  
  • “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru”.
Buku “Visi Politik Gerakan Jihad” ditulis oleh 2 orang penulis yang salah satunya adalah Abu Mush’ab As-Suri.

Abu Mush’ab merupakan pengikut Al-Qaeda yang dikehendaki di Sepanyol atas pembabitan insiden pengeboman restoran di Madrid 32 tahun lalu, yang mengorbankan 18 orang.

Manakala, buku “Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi” ditulis seorang wartawan Fouad Hussein, yang mewawancara Abu Musab al-Zarqawi dan Saif Al-Adel yang kedua-duanya adalah pemimpin tertinggi dalam militan Al-Qaeda.

Saif juga merupakan pemimpin Islamic Jihad, iaitu salah satu kumpulan militan Islam yang aktif pada lewat 1970-an.

Sementara buku “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru” pula ditulis Abu Muhammad Ashim Al Maqdisiy yang merupakan seorang penulis Islam Jordan-Palestin.

Abu Muhammad juga merupakan mentor kepada Abu Musab Al-Zarqawi, dan pandangannya turut diambil oleh Fouad untuk penghasilan bukunya.

“Dari Usama Kepada Para Aktivis” pula adalah buku yang ditulis Osama bin Laden dan Syaikh Yusuf Al Uyairi, orang kanan Osama yang juga pernah menjadi pengawal peribadi pengasas Al-Qaeda itu.

“Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan Al-Qaeda” pula ditulis oleh Ayman Al-Zawahiri, pemimpin Al-Qaeda yang pernah terlibat dalam puluhan serangan di Amerika Utara, Asia, Afrika dan Timur Tengah.

Malah, Washington pernah menawarkan AS$25 juta untuk ganjaran maklumat mengenai Al-Zawahiri.
Semakan FMT mendapati, ada di antara bahan bacaan yang didakwa dimiliki Siti Aishah boleh dibaca secara atas talian.

Siti Aishah pertama kali ditahan pada Mac 2016, di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana memiliki 12 buah buku yang didakwa berkaitan kumpulan militan.

Pada April 2016, dia didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan tidak mengaku bersalah memiliki buku-buku berkenaan.
Siti Aishah mendakwa buku-buku itu merupakan penyelidikannya untuk ijazah sarjana di Universiti Malaya (UM).
Selepas ditangkap pada Mac tahun lalu, Siti Aishah dipecat UM kerana kegagalannya menghadiri kelas. Ketika itu beliau mengambil jurusan dalam bidang Usuluddin.

Pada September tahun lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Siti Noor Aishah daripada semua pertuduhan atas alasan tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya.

Pada hari yang sama dibebaskan, Siti Aishah ditangkap semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atau Poca, selama 60 hari.

Sebaik dibebaskan, beliau diletakkan di bawah tahanan rumah, dengan peranti pengawasan elektronik dipasang, untuk memastikan beliau tidak meninggalkan daerah Surah di Dungun, Terengganu, tanpa kelulusan polis.

Siti Aishah ditangkap semula di bawah Sosma dan ditahan di penjara Kajang sejak 29 Mac.

Penangkapannya dibidas pertubuhan hak kemanusiaan dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed membidas pembangkang kerana cuba mengambil kesempatan politik dalam isu penahanan Siti Aishah.
“Tidak perlu adanya pembangkang yang konon-kononnya mahu membela Siti Aishah sedangkan mereka ini (pembangkang) membelanya dengan cara tidak jujur,” katanya.

FMT

Post a Comment

0 Comments