PAS Kelantan Tidak Endah "Isu Masjid Telipot"

KENYATAAN MEDIA BANTUAN GUAMAN UNTUK MEMPERTAHANKAN HAK PEMBESARAN MASJID TELIPOT
.
Pagi ini, Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan acara pecah tanah bagi meneruskan pembangunan kondominium di atas lot kosong bersebelahan Masjid Telipot, sekalipun penduduk sekitar membantah dan mencadangkan tapak itu diluluskan untuk pembesaran masjid berkenaan.
.
2. Ternyata Kerajaan Kelantan telah hilang kompas akhlak dan konsep Merakyat Membangun Bersama Islam hanya slogan penglipur lara semata-mata.
.
a. Adakah kondo di atas lot bersebelahan masjid lebih aula dari pembesaran masjid, sedangkan itu sahaja tanah kosong yang ada?
.
b. Adakah projek komersial bermatlamatkan keuntungan lebih diutamakan dari pembesaran masjid yang diketahui umum telah sesak, baik dari segi ruangan solat mahu pun kawasan letak kereta?
.
Apa lagi, Jawatankuasa Penduduk mencadangkan membuat kutipan derma untuk membayar harga tanah setimpal dengan nilai pasaran. Bermaksud, tanah itu bukan dipohon percuma tetapi dibayar kepada Kerajaan. Lantaran itu, Kerajaan tidak kehilangan apa-apa.
.
c. Bantahan penduduk telah tidak diambil kira. Menggambarkan Kerajaan yang ada tidak mengikut prinsip Islam yang mengutamakan permesyuaratan dan mendengar pandangan kedua pihak-pihak yang terlibat seperti yang dikehendaki oleh Islam.
.
3. Saya berpendapat, cadangan pembinaan ini melanggar beberapa peraturan seperti tidak membatalkan semula penggazetan sebagai zon pendidikan seperti mana Rancangan Tempatan Kota Bharu 2020.
.
Penggazetan semula itu memerlukan pameran awam untuk tujuan bantahan. Setakat pengetahuan kami, urusan ini tidak dilakukan.
.
Selain itu, kemungkinan wujudnya pertindihan kepentingan  kerana Ahli Lembaga YIK yang menjadi tuan punya tanah selepas Kerajaan menganugerahkan kepadanya adalah orang yang sama yang duduk dalam Lembaga PKINK.
.
4. Saya selaku ADUN yang dirujuk untuk bantuan pendapat dan buah fikiran bagi isu ini oleh penduduk kampung InsyaAllah akan membantu mendapatkan pandangan undang-undang bagi membolehkan penduduk kejiranan Masjid Telipot mengambil apa-apa tindakan bersesuaian bagi mempertahankan hak Ahli Qariah Masjid Telipot mendapatkan lot berkenaan bagi pembesaran Masjid Telipot yang sedia ada.
.
5. Semoga Allah membantu. Semoga syiar Islam dapat ditinggikan dari ketamakan kepada habuan material, baik secara terang atau tersembunyi. Semoga Masjid Telipot akan muncul menjadi mercu tanda baru dengan seni reka dan seni bina yang menggambarkan keunggulan Islam.
.
6. Saya mengalu-alukan apa jua sumbangan untuk kita bersama mempertahankan bumi Kelantan dari dilanda oleh dasar-dasar berasaskan ketamakan material semata-mata. Termasuk, satu-satunya lot bersebelahan Masjid Telipot yang kritikal untuk pembesaran.
.
7. Sumbangan sejumlah RM 5,000 oleh pemaju kepada Jawatankuasa Kemajuan Agama Masjid Telipot adalah satu penghinaan kepada kemuliaan Masjid itu. Seakan perjuangan penduduk mendapatkan tapak berkenaan berbanding syarikat pemaju kondominium berkecukupan dengan sekeping cek sekecil itu?
.
YB Dato Husam Musa
ADUN Salor,
20 Syaaban 1438/17 Mei 2017

Post a Comment

0 Comments