Takiyuddin Dakwa "PAS & UMNO" Banyak Persamaan

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu dan UMNO mempunyai banyak kebersamaan namun atas sedikit perbezaan satu ketika dahulu, kedua-dua parti tersebut berbalah.
.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kota Bharu itu sejak akhir-akhir ini, persefahaman kedua-dua parti itu dilihat semakin tinggi terutama melibatkan kerjasama demi kepentingan rakyat dan Islam.
.
“Kita sebenarnya punyai banyak persamaan, tetapi dahulu kita lebih pentingkan perbezaan,” kata beliau ketika berucap pada Program Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak 2017 Parlimen Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas, Kota Bahru yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
.
Turut hadir Ketua Umno Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.
.
PAS yang memerintah Kelantan sejak 1990 dilabel sebagai membina kerjasama dengan Umno meskipun ia dinafikan oleh kepimpinan parti itu.
.
Parti itu yang baru-baru ini memutuskan kerjasama politik dengan PKR tidak menganggotai Pakatan Harapan.
.
Dipetik Utusan Online, Mohamad Fatmi turut menjemput Takiyuddin memberi ucapan sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan beliau dalam majlis yang dianjurkan oleh Umno itu.
.
Dalam program tersebut, menurut laporan itu, Takiyuddin juga menyertai Abdul Azeez dan Mohamad Fatmi menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 1,500 penerima.
.
Laporan itu mnyebut difahamkan Takiyuddin dijemput oleh Abdul Azeez bagi sama-sama menyertai program yang bertujuan membantu rakyat itu.
.
Mohamad Fatmi yang juga Pengerusi Kumpulan Utusan berkata, Umno menerima dengan hati dan tangan terbuka kedatangan wakil rakyat PAS dalam majlis tersebut.
.
Katanya, situasi tersebut menunjukkan Umno merupakan parti yang mengalukan-alukan semangat perpaduan dan tidak suka kepada perpecahan khususnya melibatkan sesama Islam.
.
“Kita sambut dengan baik, malah saya memberi ruang kepada beliau (Takiyuddin) berucap kerana kita hendak mengalu-alukan semangat kesatuan dan perpaduan sesama Islam,” kata beliau.
.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Takiyuddin menewaskan Fatmi dalam persaingan merebut kerusi Parlimen Kota Bharu.

Post a Comment

0 Comments