DAP Tidak Dapat Bertanding PRU14 Sekiranya Tidak Mengadakan Pemilihan Semula


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyampaikan berita baik dan berita buruk kepada DAP berhubung status pendaftarannya.

Berita baiknya, kata Zahid, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak akan membatalkan pendaftaran parti itu.
Berita buruknya adalah sekiranya DAP tidak mengadakan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusatnya (CEC) seperti yang diarahkan, parti itu mungkin tidak dapat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini kerana menurut Zahid, mengikut Akta Pertubuhan, watikah calon yang bertanding dalam PRU tidak dapat dikeluarkan jika CEC tidak diiktiraf ROS.

"Jika jawatankuasa tak diiktiraf (ROS), watikah tak dikeluarkan dan tak boleh disahkan. Maka calon-calon tak boleh bertanding," kata Zahid pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

ROS pada Jumaat lalu mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC yang baru, apabila mendakwa pemilihan semula pada 2013 tidak mengikut undang-undang.

DAP membantah keputusan ROS kerana mengambil masa empat tahun untuk mengumumkan perkara itu, terutamanya selepas membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman pada tahun 2014.

Pada masa itu, Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Deo Singh memetik transkrip pernyataan ROS yang dibuat di mahkamah berbunyi "... ROS mengakui bahawa CEC DAP yang dipilih pada 29 September 2013 boleh menjalankan semua kuasanya, fungsi dan tugas dalam pentadbiran urusan harian DAP mengikut perlembagaan DAP".

Berikutan itu, DAP telah menarik balik permohonan mereka.

MK

Post a Comment

0 Comments