DUN Kelantan Meluluskan Rang Undang-Undang Sebat Pesalah Dikhalayak Ramai


Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di khalayak ramai.

Menurut laporan Utusan Online, antara perkara lain yang turut terkandung dalam enakmen tersebut ialah memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Enakmen itu merupakan sebahagian daripada persiapan Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) jika ia diluluskan di Parlimen kelak.

Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Kelulusan terhadap pindaan terbabit diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub selepas disokong sebulat suara oleh ahli dewan yang hadir.

Post a Comment

0 Comments