Fahmi Fadzil - Putraja Panik! Kapal HARAPAN Sedia Berlabuh Buru Lanun BN !!


Tidak timbul isu kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) diketuai tiga nakhoda kerana gabungan itu telah bersetuju untuk berpegang kepada keputusan berdasarkan konsensus, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Sebaliknya, kata beliau, pengumuman kepimpinan utama HARAPAN baru-baru ini telah menambahkan rasa panik di Putrajaya.
"Putrajaya semakin panik kerana kapal HARAPAN bukan bakal tenggelam tetapi kini semakin sedia untuk berlabuh memburu kapal lanun Umno-BN.
"Dan apabila kapal lanun Umno-BN itu dikalahkan, kami pasti mencari ‘peta’ harta karun 1MDB dalam tangan kapten kapal lanun itu, agar segala harta yang dirompak dan dicuri gerombolan ini akan dapat dipulangkan kepada rakyat," katanya pada kenyataan media hari ini.
Fahmi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang berkata tindakan pembangkang meletakkan tiga nama sebagai pemimpin teratas gabungan itu boleh diumpamakan sebagai sebuah kapal tiga nakhoda yang bakal tenggelam.

Menurut Fahmi, HARAPAN telah menggariskan beberapa matlamat secara khusus dalam tempoh 100 hari membentuk kerajaan, antaranya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal 1MDB.
"Kenapa peta atau matlamat atau objektif HARAPAN ini tidak cukup jelas buat Zahid?"Soalnya.
1MDB sebelum ini menjadi subjek siasatan di beberapa buah negara asing.

Di Amerika Syarikat, Jabatan Keadilan AS telah memfailkan saman sivil bagi merampas aset bernilai AS$1.7 bilion yang didakwa diperoleh menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan.

1MDB dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun menafikan penyalahgunaan wang rakyat.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata sejak HARAPAN mengumumkan kepimpinan baru Jumaat lalu, BN 'terkapai-kapai' mencari idea untuk menyerang gabungan pembangkang hingga terpaksa membuat pusingan U.

Beliau memberikan contoh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mempersoalkan di mana DAP dalam kepimpinan teratas HARAPAN.
"Namun semua tahu Salleh sendiri pernah berkata bahawa pemimpin Melayu dalam HARAPAN diperguna DAP," kata Fahmi.
Jumaat lalu, struktur kepimpinan dan logo HARAPAN dimuktamadkan selepas mesyuarat majlis presiden bersidang lebih empat jam.

Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi dilantik sebagai pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai ketua umum, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai presiden gabungan itu.

MK

Post a Comment

0 Comments