Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil membuat permohanan maaf secara terbuka kepada negara Indonesia atas kesilapan paparan bendera negara itu secara terbalik dalam buku cenderamata Pembukaan Rasmi Sukan SEA 2017, malam tadi.
Perkara itu disedari selepas Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi menyatakan kekesalan berhubung perkara itu melalui akaun Twitternya.
Membalas tulisan Imam Nahrawi itu, Khairy memohon maaf di samping menegaskan tiada niat jahat di sebalik kesilapan tersebut.
"Bapak Imam, mohon terima permohanan maaf ikhlas saya atas kesilapan itu.
"Sesunguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf," katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengelola Penganjur Sukan SEA 2017 (Masoc).
Terdahulu, buku cenderamata majlis tersebut memaparkan bendera Indonesia dalam keadaan terbalik yang mana warna putih di bahagian atas dan merah di bahagian bawah.
Sepatutnya warna merah di bahagian atas dan putih untuk bahagian bawah bendera negara tersebut.
Bendera Indonesia terbalik itu tertera pada bahagian senarai 'bekas tuan rumah Sukan SEA'.
Terdahulu, Imam melalui Twitternya menyatakan kekesalan berhubung perkara itu walaupun memuji acara pembukaan temasya dwitahunan itu.
"Pembukaan Sukan SEA 2017 yang bagus, tapi dicederai (dirosakkan) dengan kesilapan fakta yang menyakitkan.
"Bendera kita, merah putih. Astaghfirullah...," katanya.
Sementara itu, Masoc dalam kenyataan rasminya berkata, pihaknya memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia susulan insiden itu.
"Kami ingin memohon maaf kepada rakyat Indonesia di atas kesilapan yang tidak disengajakan dalam mencetak bendera Indonesia dalam buku cenderamata tersebut," kata kenyataan itu.Tambah Masoc, Khairy akan membuat kunjungan hormat dan memohon maaf sekali lagi kepada rakan sejawatannya iaitu Imam Nahrawi esok.
"Kesilapan ini amat dikesali dan kami percaya hubungan erat antara dua negara ini akan lebih diperkukuhkan di bawah semangat Sukan SEA," katanya.
MK
2 Comments
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete