Jentera AMANAH Wilayah Persekutuan Siap Sedia !

Walaupun Presiden Pas dilihat cuba menafikan tetapi sebahagian besar jentera pilihan raya parti yang sedang bertaawun atau berkerjasama dengan Umno itu sudah berhijrah kepada AMANAH.
.
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu ketika merasmikan Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan semalam berkongsikan situasi tersebut sepanjang pengalamannya selama 40 tahun bersama Pas.
.
"Berpuluh tahun bersama parti lama (Pas) bila saya merasmikan, tidak pernah lihat ahli-ahli di Wilayah Persekutuan yang hadir begini ramai di muktamar seperti yang ada dalam dewan ini sekarang.
.
"Yang datang dalam AMANAH ini hampir semuanya dulu menggerakkan jentera pilihan raya. Merekalah dalam AMANAH sekarang," katanya di depan perwakilan dan pemerhati di dewan TKP, Tingkat 21, Central Plaza di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
.
Sehubungan itu, Mohamad menyeru supaya jentera pilihan raya di peringkat akar umbi masing-masing saling membantu bagi mengukuhkan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.
.
"Kita saling menampung. Kita saling bekerjasama, kalau tempat itu tiada jentera (pilihan raya), AMANAH akan bantu," ujarnya.
.
Beliau berkata, Wilayah Persekutuan dan semua negeri lain harus menyumbang sebanyak mungkin kerusi kemenangan pada pilihan raya akan datang untuk mendapat mandat di Putrajaya.
.
"Mahu perintah perlu 120 (kerusi Parlimen), 112 paling sedikit, 130 agak selesa. Boleh sampai (menang 130). Kita harus menang semua di Wilayah (Persekutuan).
.
"Pulau Pinang kena menang 15 kerusi. Selangor begitu juga. Johor sekurang-kurangnya 12 daripada 26," jelas Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan itu.
.
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat hasrat itu hanya akan tercapai sekiranya segenap lapisan rakyat Malaysia melakukan perubahan dengan menolak Umno-BN.  
.
"Mood rakyat (undi Pakatan Harapan) memang ada. Sokongan Cina janganlah kita kalih. Jangan mana-mana kaum lari. Memang kita boleh dapat (menang pilihan raya)," katanya.
.
Tambah Mohamad, rakyat hanya mempunyai dua pilihan iaitu Pakatan Harapan atau BN untuk diangkat sebagai pemerintah kecuali segelintir penyokong taasub yang tegar dengan partinya sendiri.
.
"Kita kuat kerana parti. Dalam pilihan raya, orang akan pilih siapa nak jadi pemerintah. BN atau Pakatan Harapan? Yang mana hendak memerintah, sebab itulah kita kena bekerjasama.
.
"Pilih Pakatan Harapan tolak BN melainkan ahli 'hardcore' atau pun istilah orang sebut sekarang 'walaun'," ujarnya lagi dalam nada berseloroh.
.
Undi teras Melayu
.
Dalam hal berkaitan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara sebanyak dua muka surat di akhbar Berita Harian Ahad semalam pula dilihat menguar-uarkan kekuatan parti yang membentuk blok ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) itu.
.
Beliau yang ditemu bual ketika masih lagi bercuti rehat selepas menjalani pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara (IJN) pada 16 Mei lalu memberitahu, partinya mempunyai 195 kawasan daripada 222 kerusi Parlimen dan 7,063 cawangan di seluruh negara.
.
"Pada pilihan raya umum lalu, kebanyakan jentera Pas yang membantu memenangkan calon pakatan pembangkang daripada PKR dan DAP," katanya.
.
Abdul Hadi turut yakin gabungan PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu adalah pakatan rapuh yang tidak memberi keuntungan kepada Islam dan tidak berjaya mendapat undi teras Melayu.
.
Bahkan, khusus untuk AMANAH, beliau menganggap kewujudan AMANAH sebagai tidak memberi sebarang kesan kepada politik tanah air.
.
"Parti itu (AMANAH) tidak boleh menggantikan Pas sebab tidak mendapat sokongan Melayu seperti Pas iaitu parti didukung oleh orang Melayu dan diterima oleh bukan Islam," kata Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu lagi.
.
MD

Comments