Pas Kekal "Tidak Malu" Berada Dalam Kabinet Selangor


Setakat hari ini masih belum ada tanda-tanda tiga Exco Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib akan keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR.

Iskandar memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Ahmad Yunus (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Tindakan itu sekali gus menimbulkan persoalan kerana Majlis Presiden Pakatan Harapan telah memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Pas pada PRU14.

Itu satu isyarat yang jelas bahawa hubungan antara Pas dan Pakatan Harapan sudah berakhir, selepas parti itu secara sebulat suara memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR pada muktamar yang lalu.
Melihat senario politik di Selangor, nampaknya kerjasama antara Pas dan PKR masih berjalan seperti biasa sehingga menimbulkan tanya di kalangan rakyat.
Jika Pas mempunyai maruah, mereka seharusnya berundur dari Kerajaan Negeri Selangor dan tidak sepatutnya bersama dalam pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pas dan PKR memegang jumlah kerusi yang sama iaitu 13 kerusi; DAP (14); Amanah (2); Bebas (2); manakala Barisan Nasional (BN), kekal 12 kerusi.
Jika dilihat kedudukan di Dun Selangor itu, jika tanpa sokongan Pas, sudah tentu kedudukan kerajaan pembangkang dalam keadaan mencemaskan.
Pas juga tidak sepatutnya memnegluarkan kenyataan berbeza-beza yang memenatkan fikiran rakyat.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor misalnya berkata, parti itu tidak akan keluar daripada kerajaan negeri sehingga mereka mendapat arahan daripada pimpinan pusat atau diputuskan muktamar.

Kenyataan beliau itu jelas bertentangan dengan Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan.

Mana satu yang betul?

Menurut Nasruddin seperti yang dilaporkan semalam, Pas konsisten dengan ketetapan tidak ada kerjasama politik dengan Pakatan Harapan sebab sukar untuk parti itu hadapi PRU dengan sikap tidak konsisten.

Jadi bagaimana pula dengan kenyataan Yunus Hairi bahawa Pas Selangor belum menerima sebarang arahan rasmi daripada Pas Pusat untuk menghentikan apa juga bentuk perbincangan dengan PKR.

Apakah keputusan muktamar bukan satu arahan rasmi?

Satu demi satu kenyataan berbeza-beza yang keluar dari mulut pimpinan Pas tidak akan membantu parti itu menghadapi PRU kerana rakyat menjadi keliru dengan pendirian Pas yang sebenar.

Pengerusi Biro Help Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Pas perlu sedar mereka hanya diperalatkan PKR dan DAP dalam usaha mengekalkan kuasa pembangkang di Selangor.

Beliau berkata, Pas wajar sedar dan membuat keputusan untuk berundur kerana mereka mempunyai kekuatan sendiri.
“Tetapi malangnya, Pas masih bergantung kepada PKR, umpama hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Tindakan ini hanya menyebabkan ahli parti menjadi keliru,” katanya.
Katanya, pengorbanan Pas untuk kekal dalam negeri Selangor bersama PKR tidak bernilai, sebaliknya terus dimalukan dengan keputusan Majlis Presiden menolak parti itu pada PRU akan datang.
“Tindakan tiga exco Pas itu juga hanya memberi kelebihan kepada Mohamed Azmin untuk terus kekal berkuasa di Selangor, sedangkan Pas sepatutnya sudah tidak ada kena mengena dengan kerajaan PKR Selangor,” katanya.
Pada masa yang sama, ramai yang melihat kenyataan Mohamed Azmin yang mahu Pas terus bersama dalam kerajaan negeri menunjukkan beliau tidak yakin dengan kemampuan Amanah dalam menghadapi PRU14.

Rakyat kini menantikan episod seterusnya dalam 'drama bersiri' Pakatan Pakatan Harapan dan Pas di Selangor.

Apa yang pasti, Mohamed Azmin tidak akan berani untuk memecat tiga exco Pas itu kerana mereka adalah talian hayat beliau untuk terus menjadi menteri besar.

SH

Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by a blog administrator.

      Delete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Post a Comment