Kewujudan madu tiruan dalam pasaran tempatan diakui menjejaskan lebih 50 peratus pendapatan peniaga madu asli apabila produk mereka turut diragui orang ramai.
Perkara itu diakui anak kepada pemilik Pak Nik Madu Enterprise, Nik Abdul Jabbar Nik Abdul Malek, 23, apabila ramai pelanggan mula mempersoalkan keaslian madunya sejak tahun lalu sehingga ada antara mereka sudah berhenti membelinya.
Nik Abdul Jabbar yang kini membantu perniagaan ayahnya, Nik Abdul Malek Nik Mahmood, 50, yang dibuka sejak 1995, berkata madu asli dan tiruan mempunyai banyak perbezaan jika seseorang itu sudah terbiasa merasai manisan yang asli.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan ramai yang meragui produk madu tualang, perniagaannya mula merosot lebih 50 peratus sejak tahun lalu.
"Bagi pakar madu seperti ayah saya, mereka tahu ciri madu asli walaupun ada cubaan menipu dengan mencampurkan dengan gula melaka. Kami mendapat bekalan madu tualang ini dari Indonesia sebelum diuji di makmal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, bagi mengenal pasti keasliannya.
Tapis madu
"Sebaik diuji, kami akan tapis dulu madu berkenaan bagi mengasingkan sarang yang tidak hancur dan lebah yang mati sebelum dimasukkan dalam botol 100 peratus tanpa dicampur apa-apa bahan untuk dijual," katanya.
Nik Abdul Jabbar berkata, beliau mengimport dua hingga lima tong madu hitam yang mengandungi 50 kilogram setahun.
"Bagi kami, cara paling mudah mengesan madu tualang tiruan adalah melihat bentuk fizikalnya kerana jika manisan itu asli, warnanya akan berubah semakin gelap selepas sebulan menyimpannya selain muncul bee polen (berbuih) dalam masa dua minggu. Selain itu, jika dicampur air mineral, madu tualang tiruan akan menjadi jernih, manakala yang asli menjadi keruh,"Sementara itu, penjualan madu di negeri ini secara meluas dengan botol kosong tanpa pelekat menimbulkan keraguan sama ada manisan itu asli atau tiruan.
Malah, kebanyakan penjual yang ditemui mendakwa mereka tidak pasti sama ada madu yang dijual itu asli atau tiruan, sebaliknya menyatakan ia terus dibeli berikutan harganya lebih murah.
Tinjauan BH di Pasar Siti Khadijah, di sini, mendapati kebanyakan botol madu seperti tualang dan kelulut yang dijual di beberapa gerai adalah tanpa pelekat yang mempamerkan buatan dari mana dan nombor telefon yang boleh dihubungi.
Sumber : BH
1 Comments
Nak selamat, beli jer dari kawan yang kerja cari madu. Tak pn kat tempat yang ko sendiri tengok. Madu tu diproses.
ReplyDelete