Majlis Amanah Rakyat (MARA) didapati membayar A$41.8 juta (kira-kira RM138 juta) kepada sebuah "syarikat lahu" (syarikat tanpa operasi atau shell company) bernilai US$2 di Caribbean, yang mendakwa mempunyai kepentingan dalam sebuah bangunan di Melbourne, Australia.
Dengan menggunakan jaringan transaksi atas kertas yang rumit dan syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands (BVI), berjuta ringgit bertukar tangan melalui perjanjian jual beli, dan dengan bantuan mereka yang mempunyai kepentingan peribadi dalam urus niaga itu.
Dua lagi urus niaga diperlukan untuk melengkapkan pembelian itu. Pembelian itu dikaburi lagi dengan transaksi yang dibuat melalui syarikat di BVI oleh beberapa warga Malaysia, termasuk bekas pegawai MARA.
Malaysiakini dan media berpangkalan di Melbourne, Fairfax Media, memperolehi dokumen menggemparkan ini yang memberi gambaran tentang penipuan yang berlaku.
Ia telah menjejaskan kepentingan MARA, menyebabkan badan yang ditubuhkan untuk membantu golongan Melayu miskin itu kerugian berjuta ringgit.
Dokumen itu mendedahkan:
- Walaupun tiada kepentingan perundangan dalam hartanah itu, Scarlett Nominees Ltd membuat perjanjian dengan Mara Incorporated (Mara Inc) untuk "menjual" syarikat BVI, Thrushcross Land Holdings Ltd, yang "dikatakan memiliki hartanah itu" - bangunan 12 tingkat bernama Unilodge di 746, Swanston Street, Melbourne.
- Perjanjian ditandatangani pada 28 Ogos 2012. Tidak sampai seminggu, Mara Inc membayar 10 peratus daripada harga pembelian. Pada hujung November 2012, jumlah yang dibayar Mara Inc kepada Scarlett adalah A$41.8 juta untuk "syarikat lahu" , Thrushcross, kononnya bersekali dengan Unilodge.
- Pada 16 Januari 2013, Thrushcross membayar pemilik Unilodge sebenar, HRSV Pty Ltd sebanyak A$23.5 juta bagi bangunan itu.
- Transaksi jualan melibatkan harga A$23.5 juta (kira-kira RM77.6 juta), walaupun lima bulan sebelum itu Scarlett telah "menjual" Thrushcross (yang ketika itu tidak memiliki Unilodge) kepada Mara Inc pada harga A$41.8 juta (Kira-kira RM138 juta).
- Nilai A$41.8 juta itu berdasarkan penilaian oleh syarikat penilai dan surveyor berpangkalan di Malaysia, dan dimasukkan sebagai tambahan (annexure) kepada perjanjian jual beli Thrushcross antara Mara Inc dan Scarlett.
- Sehingga pemindahan rasmi dilaksanakan pada 16 Januari 2013, pemilik sebenar Unilodge adalah HRSV. Ini bermakna berdasarkan undang-undang, Thrushcross bukan pemilik kepada hartanah itu sebelum tarikh tersebut. Begitu juga dengan Scarlett.
- Walaupun Thrushcross dikatakan menjadi milik Mara Inc selepas penjualannya, perjanjian pemindahan tanah dengan HSRV ditandatangani oleh dua warga Malaysia yang tiada apa-apa kaitan dengan Mara Inc. Mereka juga memberikan alamat tempat tinggal yang sama di Melbourne.
- Pada 19 Julai 2013, dua individu yang menjadi pegawai tinggi Mara Inc pada ketika itu membuat gadai janji terhadap hartanah itu untuk meraih wang bagi membeli sebuah lagi hartanah di Melbourne - Dudley House.
- Pembelian itu kini sedang disiasat atas dakwaan penipuan, rasuah dan pengubahan wang haram.
Sumber : MK
3 Comments
Tak mengejutkan pun sbb dlm mara ni mmg byk penyelewengan. Cuba siasat kes sindiket penipuan pinjaman di Melaka. Inden palsu kedai palsu peminjam palsu penjamin palsu semua ada. Berjuta2 sindiket yang didalangi orang dalam kaut tapi akhirnya kes ditutup tanpa tindakan konkrit. Ramaibyg jadi mangsa disenarai hitam sbb tak bayar. Cuba tanya peniaga2 kat pasar alor gajah betul tak. Kesian ada pakcik tu nak pegi haji kena bayar rm 35k sedangkan masa pinjaman llulus rm35k dia dpt 18k aje yg lebih sindiket yg diketuai oleh orang mara sendiri baham. Ada akak tu lulus 20k tapi dpt 8k aje. Tak pasal2 nama blacklist. 1 kedai sampai 2 3 org bole buat pinjaman. Fail2 ni ditutup dgn rapi. Cuba tanya dato kp dia tahu tak kes ini sbb masa kes ni meletop dia bos kat mara melaka kalaubtak silap.
ReplyDeleteKo kerja dalaman mara ke.. Kasi details.. PM kt FB pages BANkami.. Nanti kami post.
DeleteBro bagi no tel utk sy chat detail ttg yg atas. Takda fb
Delete