Percayakah! Pemberian BRIM Tingkatkan "Kegembiraan Rakyat Malaysia"


Kerajaan hari ini mengaitkan peningkatan kedudukan negara dalam Laporan Kebahagiaan Sedunia 2017 (World Happiness Report) dengan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Dalam jawapan parlimen bertarikh 6 November, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata negara menduduki tempat ke-42 daripada 155 negara untuk tahun ini, meningkat lima kedudukan berbanding di tempat ke-47 tahun lalu.

JPM berkata, ini merupakan peningkatan untuk tahun kedua berturut-turut.
"Di kalangan negara ASEAN, negara menduduki tempat ketiga selepas Singapura (26) dan Thailand (32), serta jauh lebih baik berbanding negara ASEAN lain, misalnya Filipina (72) dan Indonesia (81). Malah kedudukan negara juga lebih tinggi daripada beberapa negara maju seperti Italy (48), Japun (51), Korea Selatan (56) dan Hong Kong (71)," kata JPM.
JPM berkata, pencapaian itu berpunca daripada peningkatan dalam aspek sokongan sosial, pendapatan per kapita dan kebebasan membuat pilihan.

Kata JPM lagi, pencapaian itu menunjukkan kerajaan sentiasa memastikan tahap kesejahteraan hidup rakyat meningkat selaras dengan pembangunan negara, termasuk melalui Rancangan Malaysia ke-11.

Kerajaan juga memberi penekanan terhadap aspek pembangunan modal insan dan sosial bagi membantu rakyat berhadapan bebanan kos sara hidup yang meningkat.
"Ini termasuklah pemberian BR1M kepada sejumlah tujuh juta isi rumah yang berpendapatan rendah, 334 Klinik 1Malaysia yang menawarkan perkhidmatan dengan bayaran serendah RM1, dan 1,061 Klinik Kesihatan seluruh negara yang mana 242 daripadanya dilengkapi perkhidmatan pakar," kata JPM lagi.

Sumber : MK

Post a Comment

1 Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete