Kerana Ketum, Pengerusi Risda Bidas MB Perlis "Kurang Cerdiklah.."


Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menegur Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kerana menolak buta-buta cadangan penanaman ketum untuk tujuan eksport.

Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata cadangan Risda itu semuanya berdasarkan kajian pakar, khususnya daripada Pusat Dadah dan Ubat-ubatan (CDR), Universiti Sains Malaysia (USM) yang menelan belanja jutaan ringgit.
“Macam menteri besar Perlis, dia tak rujuk pakar-pakar... ini adalah pemimpin politik yang kurang cerdiklah,” kata Zahidi yang juga anggota parlimen Padang Besar dan bekas pemimpin kanan Umno Perlis.
Pada 4 dan 5 Disember tahun lalu, CDR USM menganjurkan seminar yang melibatkan pembentangan pakar seperti Prof Mahsufi Manshor, Dr Darshan Singh dan Prof Madya Zurina Hassan berjudul “Bukti saintifik mengenai penggunaan ketum di Malaysia”.

Profesor Pusat Pengajian Sains Farmasi USM Profesor Dr Sharif Mahsufi Mansor misalnya dipetik sebagai berkata tanaman ketum berpotensi menggantikan methadon yang digunakan dalam mengubati masalah ketagihan dadah terutamanya selepas penagih itu berhenti mengambil dadah.

Bagaimanapun, baru-baru ini agensi berita tempatan melaporkan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man bertegas menolak cadangan penanaman ketum atas alasan mengelakkan masalah sosial akibat penyalahgunaan bahan itu.
Azlan juga berkata akan berusaha supaya ketum yang diletakkan bawah Akta Racun 1952 ditukar kepada Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini di sebuah hotel di ibu kota minggu lalu, Zahidi berkata kenyataan Azlan (atas) boleh memberi imej buruk kepada negeri paling utara di tanah air itu.
“Dan amat malang lagi ia menampakkan bahawa ahli politik dari Perlis ini tidak begitu mahir dan (tidak begitu) pandai.Menteri besar ini dia dah ada pendapatan, hidup dia dah senang tapi kita nampak kebanyakan rakyat luar bandar macam petani ini, dia hidup susah dan kebanyakannya bergantung kepada ketum," 
Sementara itu, Zahidi juga mengingatkan Azlan supaya mengambil-kira hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membantu rakyat.

"Datuk Najib Razak dilihat sebagai pemimpin yang membantu rakyat, tetapi ada pemimpin di bawah ini yang bercanggah dengan Datuk Najib.

“Dan dia pula nak potong rezeki rakyat," katanya sambil menegaskan beliau tidak menyokong penyalahgunaan bahan itu.

Zahidi berkata Risda berharap dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil, setelah pengenalan beberapa tanaman alternatif seperti roselle sebelum ini kurang membuahkan hasil.


Tauke dadah lobi haramkan ketum?

Sementara itu, Zahidi juga melihat isu penanaman ketum sebagai peperangan ekonomi dan mengesyaki kemungkinan terdapat lobi sindiket dadah dalam usaha mengharamkan penanaman ketum serta meletakkannya bawah kawalan Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Apabila ketum ini dibenar digunakan sudah tentulah dadah akan hilang di pasaran. Jadi, orang akan guna ketum sebab dia tak salah daripada guna dadah. Jadi tauke-tauke dadah yang untung berjuta-juta ini dia akan marah dan dia ini akan melobi orang-orang supaya tak suka ketum ini," 
Beliau berkata isu yang hampir sama berlaku ketika kegilaan perokok memilih vape sebelum ini.
“Bila ada vape, jualan rokok jatuh. Maka ada pelobi supaya vape diharamkan. Ketum pun begitu juga,” katanya sambil berkata terdapat permintaan daripada luar negara untuk menggunakan ketum bagi mengubati ketagihan dadah sintetik.
Pada April 2015, kerajaan pernah membentangkan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2014) untuk menyenaraikan daun ketum dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya yang turut menyenaraikan tanaman lain seperti pokok ganja, kanabis, popi dan koka.

Ketika itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya membentangkan pindaan itu bagi bacaan kali kedua di Parlimen.

Bagaimanapun, laporan Bernama pada November 2015 menyatakan pembentangan itu ditarik balik kerana terdapat bantahan terhadap cadangan takrifan penyalahgunaannya kerana dikhuatiri boleh berlaku penganiayaan kepada penduduk kampung, yang menanam dan menggunakan bahan itu untuk tujuan perubatan dan kesihatan diri.

Dalam laporan itu juga, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dipetik berkata kerajaan memerlukan masa untuk menyediakan takrifan perundangan baru bagi daun ketum.

Mengulas perkara tersebut, Zahidi mengakui kerajaan telah melakukan kesilapan.
Pada waktu pembentangan di parlimen itu tersilap, Jabatan Peguam Negara telah ambil akta sedia ada dan ditambah ketum sahaja. Jadi ahli parlimen tolak sebab dia samakan ketum dengan kanabis, Undang-undang bukan untuk bunuh orang
Mengulas perkara itu, Zahidi bertegas ketum tidak perlu dimasukkan ke dalam undang-undang yang sama dengan dadah.
"Kasihanlah dekat orang. Maknanya, kalau kita buat macam itu kerja kita bunuh orang sajalah, kerajaan keluarkan satu undang-undang yang kerjanya bunuh orang," 

Sumber : MK

Post a Comment

1 Comments