Ahli perniagaan Albert Tei menegaskan alamat pada kad pengenalannya sememangnya berada di Negeri Sembilan, sekali gus menolak kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang sebelum ini memintanya menukar alamat jika benar-benar mahu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Albert, atau nama sebenarnya Tei Jiaan Chewing, 37, berkata beliau berdaftar di Taman Seremban Jaya, Seremban dan menyifatkan kenyataan Anthony dibuat tanpa semakan yang sewajarnya.
“Saya nak beritahu Anthony Loke, alamat kad pengenalan saya adalah di Negeri Sembilan iaitu di Taman Seremban Jaya, Seremban.
“Lain kali jika mahu keluar kenyataan, semak dulu jangan suka-suka menuduh. Alamat saya memang di Negeri Sembilan. Saya tak tahu dari mana dia dapat maklumat. Lain kali semak dulu sebelum berucap,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Albert turut mengingatkan Anthony supaya kekal mempertahankan kerusi yang disandang sekiranya PRN diadakan.
“Jangan lari ya. Saya akan bawa sentimen yang berlaku di Sabah ke sini kerana saya antara yang menyebabkan DAP kalah 8-0 dalam PRN Sabah tahun lalu,” katanya.
Mengulas hala tuju politiknya, Albert berkata beliau berminat menyertai sebuah parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan telah mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan.
Menurutnya, keputusan muktamad dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
“Saya ini masih ‘anak dara’ dalam politik. Terpulang kepada pihak pucuk pimpinan untuk tentukan, tapi saya difahamkan mereka menyokong saya.
“Dalam masa terdekat saya akan mengesahkan perkara ini. Tapi saya sudah bersedia bertanding di DUN Chennah,” katanya.
Sebelum ini, Albert dilaporkan tidak menolak kemungkinan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan selepas menerima galakan daripada rakan-rakan serta pengikutnya di media sosial.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi DUN Chennah yang kini disandang oleh Anthony Loke.
Setakat ini, belum terdapat reaksi balas terbaharu daripada Anthony Loke berhubung kenyataan Albert tersebut.
0 Comments