MIC Perak - Bersatu Mampu Cetus "Tsunami Melayu" Di Perak


Seorang pemimpin MIC memberi amaran kepada BN bahawa ada kemungkinan PPBM cukup popular di Perak untuk mengakibatkan tsunami Melayu menyokong Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya bukan bersikap negatif,” kata bekas ketua MIC Perak dan bekas speaker Dewan Undangan Negeri R Ganesan. Tetapi nampak seperti akan ada tsunami Melayu pada 2018, memandangkan PPBM bersama pembangkang.”
“Saya cuma bersikap realistik. Pemimpin PPBM sentiasa bersama kami dan tiba-tiba mereka sekarang bersama pembangkang. Jadi kita tidak tahu tahap kekuatan mereka dan sokongan kepada mereka.”
Ketua MIC Ipoh Timur itu berkata persoalan terbesar ialah pertimbangkan sedalam mana undi Melayu akan berpecah.

“Kamu ada Umno, PAS, PKR, Amanah dan PPBM bersaing mendapatkan undi Melayu dan PPBM mungkin boleh menarik banyak undi daripada Umno kerana ia diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

BN boleh menarik nafas lega kerana PAS tidak bersama gabungan pembangkang.

“Pertandingan 3 penjuru akan memberi manfaat pada kita kerana PAS akan membawa pergi sebahagian sokongan pembangkang daripada mereka,” katanya.
PAS hanya memenangi beberapa kerusi negeri pada pilihan raya lepas dan itupun dengan majoriti tipis.
“PAS tidak akan berjaya kalau bersendirian,” katanya, mengambil contoh prestasi parti Islamis itu dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar 18 bulan lepas. Dalam pertandingan pelbagai penjuru itu, Amanah dan PAS merebut blok undi yang sama dan perpecahan itu menguntungkan BN, katanya.
“Senario sama akan berulang,” katanya. “Persoalan utama ialah berapa banyak undi yang PPBM akan bawa pergi dari Umno.
Pada 2008, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor tumbang ke tangan pembangkang dan sesetengah pemerhati merasakan kekalahan BN akibat tsunami India.

BN merampas semula Perak pada Februari 2009, selepas Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) meninggalkan PKR. Mereka menjadi Adun bebas yang mesra BN.

Pada 2013, BN menang di Perak namun tewas dari segi undi popular, kerana prestasi DAP yang cemerlang.


Tsunami Cina, Hindraf & Pengaruh Zambry

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri menggambarkan corak pengundian pada 2013 sebagai tsunami Cina.

Ganesan mendakwa sokongan orang India sudah kembali kepada BN, tetapi beliau tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang.
Kumpulan hak asasi Hindu, Hindraf, yang dianggap pencetus tsunami India 2008, mempunyai pengaruh di Perak. Hindraf mencapai suatu persetujuan dengan Najib sebelum pilihan raya 2013 dan sebab itu ramai orang India kembali menyokong BN.
“Sekarang Hindraf kembali kepada pembangkang dan aktivis mereka sedang berada di lapangan untuk meraih kembali undi orang India,”
“MIC harus kaji fakta itu dengan serius dan kemukakan suatu rancangan untuk melawan usaha Hindraf. Najib sudah banyak membantu orang India, dan itu harus dijelaskan kepada rakyat Perak.”
Ganesan akui kekuatan DAP di Perak dan berkata mereka akan berhempas pulas mengekalkan kerusi dengan memainkan sentimen Cina.

Pembangkang akan cuba memburukkan imej Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
“Itulah kerja mereka, tetapi tidak ada apa yang besar yang boleh mereka gunakan untuk menyerang beliau. Zambry seorang pemimpin yang bersih dan disayangi rakyat.”

Sumber : FMT

Post a Comment

1 Comments

  1. BN cuba cetuskan Tsunami Islam bersama PAS. kita tengok berjaya atau tidak. Mana lebih dominan.

    Tsunami Melayu
    Tsunami Cina
    Tsunami India
    Tsunami Islam

    ReplyDelete