Bezanya, Rakyat Kelantan Undi Pemimpin Bukan Parti Untuk Memerintah


Hasrat Tengku Razaleigh Hamzah untuk bersara daripada politik mungkin tidak kesampaian sekali lagi, di sebalik desakan Umno Gua Musang supaya pemimpin veteran yang lantang bersuara mengkritik pimpinan kerajaan itu terus kekal di kawasan yang diwakilinya selama 4 dekad.

Naib Ketua Umno Gua Musang, Ab Aziz Yusoff berkata majoriti pimpinan Umno Kelantan khususnya peringkat kawasan masih memerlukan khidmat Tengku Razaleigh, yang popular dengan panggilan Ku Li.

Aziz mengakui Ku Li, 81, sudah lama berhasrat mahu bersara tetapi rakyat Gua Musang masih memerlukan khidmatnya, katanya kepada FMT.
“Tengku masih lagi releven, beliau masih sihat dan mampu berkhidmat untuk rakyat, selagi dia sihat kita minta dia terus bertanding. Umno Kelantan dan bahagian tetap menyenaraikan nama Tengku dalam senarai calon yang akan bertanding pada PRU nanti,” kata Aziz yang juga Adun Galas di Kelantan.
Ku Li menjadi wakil rakyat Gua Musang sejak 1969.

Dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini, bekas menteri kewangan itu yang kini merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di Malaysia, sekali lagi menyatakan hasrat bersara.
“Saya mahu bersara. Saya benar-benar ingin bersara,” 
Menurutnya, hasrat sama dinyatakan pada pilihan raya 2013.
“Entahlah. Itulah yang mereka lakukan pada pilihan raya lalu. Saya sepatutnya bersara sebelum pilihan raya umum ke-13. Saya mahu berundur. Saya kini berusia 81 tahun. Berapa lama lagi anda mahu hidup?”
Aziz bagaimanapun berkata Ku Li mempunyai “banyak kelebihan” dan suara beliau masih diperlukan dalam Umno dan kerajaan.
“Malah parti pembangkang masih menghormati beliau, dari segi kemajuan banyak dia buat walaupun tiada jawatan tinggi di peringkat pusat,” 
Beliau memberi contoh sebuah masjid “terbesar dan termahal di Kelantan” yang sedang dibina dengan belanja RM32 juta hasil usaha Ku Li.

Selain jawatan dalam Kabinet, Ku Li juga merupakan pengerusi Petronas.

Beliau merupakan bekas naib presiden dan bendahari Umno, dan pernah menubuhkan Semangat 46 selepas kalah tipis pada pemilihan Umno 1987, yang menyaksikan Umno berpecah dua.

Pada pilihan raya umum lalu, Ku Li menang di Gua Musang mengalahkan calon PAS dengan majoriti 8,413 undi.

Sementara itu, tinjauan FMT mendapati sokongan dan kritikan kepada Ku Li.

Penduduk Gua Musang, Isa Musa berkata beliau dan keluarganya menyokong Umno sejak 1986 kerana tertarik dengan corak kepimpinan Ku Li.
“Ku Li seorang pemimpin yang bagus, orang Gua Musang termasuk keluarga saya sokong Umno bukan sebab Umno, tetapi sebab Ku Li dan corak kepimpinan dia dan aura dia dalam membangunkan negara. Kalau bukan Ku Li bertanding saya tidak akan sokong Umno,”

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments