Masalah WARISAN & AMANAH Sabah ?


Walaupun Presiden Parti WARISAN Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal meminta AMANAH jangan bertanding di Sabah pada pilihan raya umum akan datang, pengerusi AMANAH negeri itu, Hamzah Abdullah tetap dengan keputusannya bahawa partinya akan bertanding di sekurang-kurangnya dua kerusi.
"Hari ini kita akan bertemu presiden parti kita dan kita akan membuat satu keputusan yang kita akan bertanding juga. Kita akan bertanding di kerusi yang telah diputuskan oleh Pakatan Harapan.
"Apa pun keadaannya, kita akan bertanding melawan sesiapa yang akan bertanding di Batu Sapi dan Kalabakan. Kita bukan lawan HARAPAN, kita akan lawan WARISAN kerana kita tidak ada pakatan dengan WARISAN," kata Hamzah kepada Malaysiakini.
Ditanya sama ada beliau bimbang akan dituduh memecah undi, Hamzah berkata yang menyebabkan perpecahan adalah Shafie sendiri yang didakwanya bersikap "tamak".
"Shafie adalah penyebab utama perpecahan dalam HARAPAN dan (Pengerusi HARAPAN Sabah) Christina (Liew) telah gagal untuk jalankan kebajikan dan kepentingan HARAPAN Sabah," kata Hamzah, yang menuduh Liew mengadakan pertemuan rahsia dengan Shafie berhubung rundingan kerusi.
Hamzah seterusnya membidas Shafie yang didakwanya sebagai seorang pemimpin yang "angkuh dan dan biadap" selepas Shafie berkata beliau telah berunding dengan pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu supaya BERSATU dan AMANAH tidak bertanding (di negeri itu).
"Belum lagi memerintah pun dia sudah buat satu keputusan yangt tidak pentingkan rakan dia. Anda bercakap tentang Perjanjian Malaysia, mengenai perkongsian sama rata namun dengan rakan komponen sudah buat zalim."
Diminta mengulas mengenai kenyataan oleh Shafie (gambar), Mohamad semalam menegaskan rundingan mengenai perkara itu masih berterusan.
"Itulah pandangannya dan kami menghormati pandangan itu. Kami akan terus berbincang. Keputusan muktamad boleh dicapai dalam masa terdekat, Insya-Allah," kata Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, semasa sidang akhbar di pejabat Selangor AMANAH di Shah Alam.
Mengenai kenyataan Shafie bahawa pemimpin BERSATU dan AMANAH Sabah boleh diberi jawatan senator, Hamzah mempersoalkan betapa yakin Shafie dapat merampas negeri itu dari BN.
"Dengan cara dia mengetuai pakatan itu - Shafie sangat angkuh, berkelakuan seperti 'big brother' dalam HARAPAN, menetapkan terma kepada AMANAH, sama ada AMANAH patut bertanding atau tidak.
"Kami telah berada di sini sejak tahun 2013. Dia ketika itu dalam Umno, masih masih menjadi menteri (manakala) kita mempunyai pengalaman bersama dengan rakyat sebagai pemimpin pembangkang. Kami tahu hati nurani rakyat, apa yang mereka mahu."

Sumber : Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments