Strategi BN Tawan Kelantan, Berjayakah ?


BN yakin dapat mengulangi sejarah yang dicipta pada 1978 untuk kembali memerintah Kelantan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau berkeyakinan tinggi perkara itu boleh berlaku susulan wujudnya krisis di kalangan pemimpin kerajaan negeri.
"Mereka gagal menunjukkan kepimpinan yang berwibawa dan memberi janji meyakinkan kepada rakyat.
"Senario kini mengingatkan kita pada sejarah 1978 akan berulang kembali apabila PAS berpecah dan rakyat hilang keyakinan pada kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas majlis Penyampaian Dividen Risda Peringkat Nasional 2018 di Machang, Kelantan.
Sebagai rekod BN Kelantan dengan bantuan parti BERJASA berjaya merampas negeri itu pada pilihan raya negeri 1978.

BN melalui Umno menggunakan strategi satu lawan satu berdepan PAS di kerusi selamat dan mewujudkan pertandingan tiga penjuru yang disertai BERJASA di kerusi tidak selamat.

Ahmad Jazlan yang juga calon BN bagi parlimen Machang berkata, krisis yang melanda PAS pada 1978 itu dapat memberi gambaran situasi politik semasa di Kelantan khususnya.
"Perkara hampir sama berlaku ketika ini cuma bezanya pada waktu itu berlaku dengan agak tragis hingga berlaku tunjuk perasaan (di kalangan penyokong)," katanya.
Justeru, Ahmad Jazlan berkata, pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Pakatan Harapan (HARAPAN) kali ini boleh dianggap bonus kepada BN.

Menurutnya, soal wujudnya pertandingan tiga penjuru ini berlaku secara kebetulan ketika mereka sudah mempersiapkan jentera untuk menghadapi saingan satu lawan satu.
"Persiapan kita (sebelum ini) adalah untuk satu lawan satu, jadi jika ada pertandingan tiga penjuru yang menggambarkan perpecahan pembangkang ini satu bonus kepada BN.
"Bagaimanapun kita tidak boleh ambil mudah dan bekerja seolah-olah kita akan berdepan satu lawan satu.
"Kita tak boleh ambil mudah kerana ini bukan perkara remeh, keputusan hari ini akan memberi kesan untuk lima tahun yang akan tahun," katanya.

Sumber : Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments