Anthony Loke Gesa Isa Samad Letak Jawatan Pengerusi SPAD ?


Tan Sri Isa Samad diberi masa seminggu untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Saya harap sebagai bekas menteri, beliau boleh buat perkara yang betul dan letak jawatan. Pengerusi SPAD kena letak jawatan serta merta," kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Gesaan itu susulan pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahwa SPAD akan dibubarkan.

Mahathir berkata peranan SPAD akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.

Mengulas perkembangan itu, Isa dilaporkan akur dengan keputusan kerajaan menyifatkan ia dibuat selepas kajian sewajarnya.

"Kita (BN) pun pernah menjadi kerajaan dahulu. Kita kena hormatlah (keputusan), tentu ada sebab munasabah. Bagi saya, tidak ada masalah (SPAD dibubarkan)," katanya seperti dilapor BH Online.

Sementara itu, Loke turut membuat gesaan sama kepada lantikan poltik lain dalam kementeriannya.

"Mereka tahu siapa mereka...saya tak mahu malukan sesiapa," katanya.

Katanya, kakitangan SPAD akan diserap dalam kementerian itu, tetapi mereka yang mempunyai bidang tugas bertindih tertakluk kepada keputusan kerajaan.

Kerajaan perlu menggu Dewan Rakyat bersidang sebelum membubarkan SPAD, memandangkan ia bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010.

Buat masa ini, suruhanjaya itu akan meneruskan tugas seperti biasa, tetapi diletakkan bawah Kementerian Pengangkutan dan bukan lagi Jabatan Perdana Menteri.

Sumber : MK

Post a Comment

0 Comments