Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyifatkan tindak-tanduk AS terhadap negaranya sebagai sia-sia dan akan gagal seperti kisah kucing dalam siri kartun terkenal, Tom and Jerry.
“AS telah mengambil pelbagai langkah politik, ekonomi, ketenteraan dan propaganda untuk menyerang republik Islam Iran sepanjang 4 dekad ini,” kata Khamenei semalam, “tetapi semuanya gagal, sama seperti kucing dalam siri kartun terkenal, Tom and Jerry, dan kali ini mereka akan gagal juga.”
Dalam siri kartun yang dicipta 78 tahun lalu, si tikus sentiasa berjaya mengakali si kucing, Tom, walaupun kedua-duanya saling berusaha menyakiti satu sama lain.
Komen Khamenei, yang disiarkan dalam laman web rasmi beliau, merupakan kenyataan pertama pemimpin Iran itu sejak Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo bercakap menggariskan senarai tuntutan negaranya ke atas Iran, termasuk menamatkan program nuklear negara Teluk Parsi itu secara kekal dan penarikan balik sokongannya kepada kumpulan Lubnan seperti Hizbullah, yang disenaraikan oleh AS sebagai pengganas.
Ucapan Pompeo itu menjelaskan pendekatan negaranya selepas Presiden Trump menarik AS keluar daripada perjanjian antarabangsa 2015 yang menyaksikan Iran bersetuju mengehadkan program nuklearnya sebagi balasan kepada penamatan sekatan ekonomi ke atas negara itu.
Negara lain yang terlibat dalam perjanjian itu termasuk Perachis, UK dan Jerman, mahu persetujuan itu dikekalkan.
Khamenei dalam kenyataan yang sama berkata, “Iran tidak bertelagah” dengan negara Eropah, tetapi “tidak mempercayai mereka”, dan negara itu hendaklah memberi jaminan bahawa Iran akan mendapat faedah ekonomi sekiranya mematuhi perjanjian berkenaan.
Khamenei berkata, Iran berhak mengembangkan program nuklearnya melampaui had perjanjian tersebut, melainkan bank Eropah memudahkan urusan perdagangan dan negara Eropah memberi jaminan mereka akan membeli minyak Iran sekiranya AS cuba mengganggu jualan minyak mentah.
Beliau juga berkata, mereka perlu menghentikan percubaan menuntut Iran berunding berhubung program peluru berpandunya atau dasar serantaunya.
Iran “tidak boleh berunding dengan AS kerana ia tidak berpegang dengan komitmen mereka,” kata Khamenei, “bertolak-ansur dengan musuh akan menjadikan mereka lebih berani”, sementara “bersikap keras terhadap desakan AS akan menyebabkannya berundur.”
Khamenei yang dihormati pengikutnya, menyifatkan diri beliau sebagai peminat kesusasteraan.
Beliau memuji novel “Les Miserables” tulisan penulis Perancis Victor Hugo sebagai “novel terbaik yang pernah ditulis”.
Awal bulan ini, beliau dilihat melawat pesta buku antarabangsa tahunan di Teheran, menjenguk gerai buku dan membaca terjemahan Parsi buku “Fire and Fury” oleh penulis popular AS, Michael Wolff, yang menceritakan tahun pertama Trump sebagai presiden.
Sumber : FMT
1 Comments
akhirnya angkat bicara
ReplyDelete