Cerita Sadis DS Shukri Minta "Buang Najib"


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mendakwa beliau dan bekas ketuanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah berjumpa dengan beberapa menteri kabinet sebelum ini bagi menyakinkan mereka untuk mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata langkah itu susulan hasil siasatan SPRM pada 2015 berhubung isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi Najib, yang ketika itu adalah perdana menteri.

Bagaimanapun, katanya, hanya tiga menteri ketika itu yang berani bersuara mengenainya iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

"Walaupun ugutan-ugutan diterima, kami berdua (Mohd Shukri dan Abu Kassim) tidak pernah berputus asa. Saya jumpa beberapa menteri dan Tan Sri Abu Kassim berjumpa dengan beberapa orang menteri untuk yakinkan mereka bahawa kes RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC International adalah kes yang benar, bukannya kes rekaan.
"Kami cakap kepada menteri-menteri tersebut, tolonglah buang orang ini, buang pelaku rasuah ini, gantilah dengan orang lain kalau sayangkan negara.
“Buang Najib dan gantilah dengan orang lain, gantikanlah dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Hishammuddin Hussein, orang yang ada integriti mulia untuk menjadi perdana menteri," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen hari ini.

Mohd Shukri berkata bagaimanapun, usaha beliau dan Abu Kassim gagal apabila hanya tiga menteri tersebut sahaja yang berani mengambil tindakan manakala menteri lain tidak berani melakukannya.

Beliau berkata apabila kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Najib tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini, ramai menteri-menteri yang ditemuinya pada 2015 telah menghubunginya dan menyatakan kekesalan mereka kerana tidak mengambil tindakan terhadap Najib.

"Saya cakap dengan menteri-menteri itu saya tidak ada kepentingan. Bukan saya minta duit, bukan saya minta jawatan. Saya cakap benda yang benar supaya kita perbetulkan keadaan sebelum terlambat.
“Ini adalah tentang 1MDB, RM2.6 bilion bukan cerita rekaan, ini cerita benar dan kes ini adalah terlalu besar untuk dilindungi," katanya.

Mohd Shukri juga memberitahu sidang berita itu bahawa selepas usaha meyakinkan menteri-menteri pada waktu itu tidak mencapai seperti yang dihasratkan, beliau dan Abu Kassim kemudian mengadakan pertemuan dengan Majlis Raja-raja untuk meyakinkan majlis itu mengambil tindakan terhadap Najib.

"Kami ambil inisiatif kerana sayangkan negara dan berjumpa dengan Majlis Raja-raja...dua kali kami berjumpa dan kami telah minta kepada Tuanku, tolonglah tuanku tengok perkara ini, tapi kami hampa," katanya.

Mohd Shukri dilaporkan sebagai individu yang melengkapkan dua kertas siasatan berkaitan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Ketika itu, beliau merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebelum berasa wajib pada 2016.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini melantik semula Mohd Shukri sebagai ketua pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletakkan jawatan.

Sumber : MK

Post a Comment

0 Comments