CUEPECS Respon Pegawai Lantikan Politik Ditamatkan Perkhidmatan


Kogress Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan terdapat penjawat awam berstatus kontrak yang ditamatkan perkhidmatan.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, setakat hari ini, pihaknya tidak menerima aduan sama ada secara lisan atau bertulis, sekali gus enggan membuat spekulasi sama ada dakwaan itu benar atau palsu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kemungkinan ada pekerja yang dilantik atas kapasiti politik, ditamatkan perkhidmatan susulan individu yang melantik mereka sudah tidak lagi berada dalam kerajaan baharu.
“Jika mereka ada kakitangan yang berstatus contract for service, maka mereka dianggap sudah selesai berkhidmat, bukan ditamatkan perkhidmatan. Ini berbeza dengan mereka yang berstatus contract of service.
Kakitangan lantikan politik pula bukan bawah CUEPACS dan adalah perkara biasa jika ditamatkan tugasan kerana kerajaan baharu ini mesti nak penasihat dan petugas mereka sendiri, jadi tidak boleh dianggap dibuang kerja.
“Apa pun, saya yakin kerajaan pimpinan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengkhianati penjawat awam, jadi beri kepercayaan, ruang dan masa untuk mereka menjalankan tugas,” katanya pada sidang media di Wisma CUEPACS, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas dakwaan beberapa penjawat awam berstatus kontrak, diberhentikan serta merta susulan peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Semalam, Dr Mahathir memberi jaminan kerajaan tidak akan mengurangkan bilangan kakitangan awam walaupun bakal berlaku pengecilan saiz kementerian.

Perdana Menteri berkata, penjawat awam yang bakal terbabit dengan pengecilan saiz kementerian akan dipindahkan mengikut kesesuaian agensi termasuk ke sektor swasta.

Sementara itu, Azih menggesa semua penjawat awam untuk berdiri teguh bersama kerajaan baharu ini serta mengetepikan semua sentimen politik, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki serta perkhidmatan kepada rakyat.
“Pilihan Raya Umum sudah berlalu dan ini masa untuk kita kembali bekerja. Seluruh penjawat awam perlu kembali memberi tumpuan pada tanggungjawab, hentikan perkara membabitkan politik dan fokus pada tugas hakiki.
“Kami harap semua pihak akan memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir dan ketua kerajaan lain untuk mentadbir negara,” katanya.

Sumber : HM

Post a Comment

0 Comments