Pegawai (Kontrak) Ditamatkan Perkhidmatan Boleh Merayu Ke Pejabat Perdana Menteri


Kontrak penjawat awam yang ditamatkan tanpa notis boleh merayu ke Pejabat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata pemimpin BERSATU, Rais Hussin.

Rais, yang merupakan ketua dasar dan strategi BERSATU, berkata Mahathir telah berulang-kali meyakinkan mereka yang "memelihara kepentingan negara" akan dilindungi di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
"Pengorbanan mereka dalam berhadapan tekanan dan tidak tunduk pada perilaku yang salah dan pelaku kesalahan menjadi teladan.
"Apa yang perlu mereka lakukan adalah menyuarakan rayuan mereka secara berfakta kepada Pejabat PM dan saya yakin bahawa ia akan dilihat secara positif.
"Ingatlah, Mahathir seorang yang berpegang teguh pada kata-katanya, dia mengatakan apa yang akan dilakukannya dan melakukan apa yang dikatakannya. Harapan mesti bersyukur kepada mereka yang membantu memelihara negara dan melakukan perkara yang betul," kata Rais kepada Malaysiakini.

Beliau menjelaskan penjawat awam sangat penting dalam memastikan kelancaran fungsi kerajaan.

Rais mengulas siaran pengguna Facebook, Mohd Amiruddin Che Rahim, yang bekerja dengan Pejabat Pembangunan Persekutuan di Pulau Pinang, di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan.

Mohd Amiruddin mendakwa beliau dan sepuluh pegawai kerajaan lain dengan pejabat pembangunan itu telah ditamatkan kontraknya hari ini tanpa notis 30 hari.
"...saya mohon nasib saya dan rakan-rakan COS yang berkhidmat di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri dibela tambahan pula bulan Ramadhan yang bakal tiba lagi tiga hari seterusnya Hari Raya Aidilfitri, pendapatan kami telah diberhentikan serta merta.
"Saya dan rakan-rakan COS yang berkhidmat di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri adalah rakyat Malaysia yang menyokong penuh pemerintahan YAB Tun (Mahathir) dengan penuh pengharapan nasib kami dibela.
"Sekiranya kami tidak mendapat peluang untuk terus berkhidmat untuk Kerajaan, saya memohon peluang pekerjaan yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan diberikan kepada kami," kata Mohd Amiruddin.

Tangkap layar e-mel yang dilampirkan bersama hantaran Amiruddin, mengatakan kakitangan kontrak berkenaan yang diambil bekerja "di bawah kerajaan persekutuan sebelumnya", akan ditamatkan kontrak pekerjaannya berkuatkuasa 14 Mei (hari ini) selepas mengambil kira "keperluan semasa."

Mahathir telah berulang-kali meyakinkan kerajaan HARAPAN tidak akan mengesampingkan perkhidmatan awam.

Sumber : Malaysiakini

Post a Comment

1 Comments

  1. as salam utk yg bermasalah utk perbelanjaan anak ke sekolah ...boleh cuba mohon ke....0125102923....Delima Bangi....utk kawsan sekitar.....insyallah

    ReplyDelete