Nasib Klinik 1Malaysia, Katanya Penduduk Klang Amat Memerlukan..


Kedudukan Klinik 1Malaysia di seluruh negara akan ditentukan tidak lama lagi setelah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mendapat taklimat penuh mengenainya hari ini.

Keputusan kerajaan itu nanti bakal menjawab segala desas-desus kononnya klinik inisiatif kerajaan Barisan Nasional itu akan ditutup selepas Pakatan Harapan yang mengambil alih Putrajaya tidak lagi menggunakan slogan 1Malaysia gagasan Najib Razak.

Dr Dzulkefly berkata hala tuju Klinik 1Malaysia akan nampak lebih jelas selepas beliau meneliti status operasi semasa di seluruh negara, hasil taklimat itu.

"Tidak semua klinik ini 'sihat' dan memberikan khidmat. Ada yang tidak mampu memberikan khidmat. Ada yang tidak ada doktor.
"Kita akan kaji semua ini dalam taklimat awal esok," katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi semalam.
"Selepas taklimat itu, kita akan tahu dengan lebih jelas hala tuju Klinik 1Malaysia ini," katanya, mengesahkan inisiatif itu sedang dikaji semula.

Dr Dzulkefly dalam satu kenyataan awalnya semasa baru dilantik menteri berkata, Klinik 1Malaysia mungkin akan dijenamakan semula sebagai Klinik Rakyat, dengan beberapa penambahbaikan termasuk menempatkan lebih banyak doktor.

Tinjauan The Malaysian Insight di beberapa Klinik 1Malaysia di sekitar Lembah Klang mengesahkan khabar angin mengenai kedudukan pusat rawatan itu sedang hangat diperkatakan dalam kalangan kakitangannya sendiri.

“Kita memang dengar-dengar akan ditutup cuma tidak tahu bila. Tapi buat masa ini kita masih menjalankan operasi seperti biasa,” kata Nur Mashitah, seorang kakitangan Klinik 1Malaysia di Shah Alam.

Seorang kakitangan Klinik 1Malaysia di Pandamaran, Klang pula bimbang dengan beban yang bakal ditanggung oleh penduduk setempat sekiranya klinik itu ditutup.

“Klinik di sini saya dengar mungkin akan tutup sebab dekat dengan klinik kesihatan, Kasihan penduduk dekat-dekat sini sebab kalau tutup mana lagi mereka hendak pergi," katanya, menjelaskan klinik kesihatan yang berdekatan itu selalu sesak dengan pelanggan. 

Sementara itu, seorang lagi kakitangan cawangan di Senawang, Negeri Sembilan yakin tidak semua cawangan Klinik 1Malaysia akan ditutup, sebaliknya hanya yang melibatkan kos operasi tinggi atau tidak memberikan khidmat berkesan.

“Yang kami dengar cawangan Klinik 1Malaysia akan tutup kalau ia kosnya tinggi seperti sewa bangunan mahal atau pesakit kurang,” katanya, yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal.

Beliau berkata Klinik 1Malaysia cawangannya mendapat pelanggan yang memberangsangkan, mencecah sehingga 1,500 orang sebulan atau purata 50 pelanggan sehari.

Klinik 1Malaysia yang dilancarkan pada 2010 pada masa ini mempunyai lebih 35 cawangan di seluruh negara dengan tujuh klinik bergerak menggunakan bas dan empat menggunakan bot untuk kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Klinik kerajaan itu mengenakan bayaran RM1 manakala warga emas mendapat perkhidmatan percuma.

Ia bagaimanapun hanya memberikan perkhidmatan rawatan asas untuk sakit biasa seperti demam dan selsema, serta mencuci dan membalut luka, yang kebanyakannya diberikan oleh pembantu perubatan.

Semua kakitangan Klinik 1Malaysia yang ditemui The Malaysian Insight mengesahkan setakat ini belum ada pekeliling rasmi daripada Kementerian Kesihatan berhubung status klinik itu, sama ada ditutup atau dikecilkan operasi.

Mereka juga tidak bimbang dengan nasib mereka sendiri kalau klinik itu ditutup kerana mereka masih kakitangan kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan dan boleh dipindahkan ke hospital atau pusat kesihatan lain.

Hal sama juga ditegaskan oleh Dr Dzulkefly, ketika ditanya apakah kakitangan Klinik 1Malaysia akan terjejas sekiranya klinik itu ditutup.

"Yang pasti nasib hampir semua kakitangannya tidak terjejas kerana mereka kakitangan tetap Kementerian Kesihatan yang ditempatkan di klinik itu. Oleh itu, tidak berbangkit langsung soal mereka akan kehilangan pekerjaan," katanya.

Sumber : MI 

Post a Comment

0 Comments