
Putrajaya perlu mencontohi langkah yang diambil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dengan mengarahkan kakitangan awam kementeriannya agar tidak mengambil bahagian dalam acara berunsur politik yang dianjurkannya, kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).
Presidennya Brig-Gen (B) Mohamed Arshad Haji berkata arahan yang dikeluarkan Salahuddin itu menunjukkan beliau faham mengenai tugasnya sebagai menteri dan juga ahli politik.
"Kenyataan Salahuddin dapat dilihat sebagai ciri ahli politik sejati, yang tidak memanfaatkan kedudukan menteri untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang penyayang dan ahli politik yang layak.
"Kami percaya bahawa dasar sedemikian akan menghalang penyalahgunaan yang berleluasa seperti di masa lalu, sekali gus menjimatkan kakitangan kementerian daripada melaksanakan fungsi yang berada di luar skop tanggungjawab jabatan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salahuddin sebelum ini memberitahu kakitangan awam yang bekerja di bawah kementeriannya tidak dibenarkan untuk menghadiri acara politik yang dianjurkannya, kerana beliau mahu mereka berkhidmat kepada rakyat dan bukan menjadi hamba politik.
Mengulas lanjut, kata Arshad, ketua jabatan sesebuah kementerian perlu mentakrifkan secara jelas mengenai tugas politik dan sebaliknya.
"Kami telah melihat sebelum ini di mana ketua-ketua jabatan akan mengeluarkan arahan kepada kakitangan bawahan untuk menghadiri acara politik menteri, semata-mata untuk memenuhkan acara tersebut," katanya.
Patriot dalam pada itu turut memuji keputusan kerajaan untuk menyemak semula gaji dan elaun kakitangan lantikan politik yang kini memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
Arshad menyifatkan gaji mencecah RM100,000 yang diperolehi ketua pegawai eksekutif (CEO) GLC sebagai tidak masuk akal dan menyerupai gaji yang diterima CEO syarikat swasta.
"Perlu ada asas yang munasabah terhadap jumlah yang CEO, pengerusi atau ahli lembaga GLC terima untuk elaun atau gaji mereka.
"Begitu juga bagi kakitangan kanan kerajaan yang dilantik untuk memegang jawatan di GLC, dan untuk menghadkan bilangan jawatan yang mereka pegang," katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan arahan untuk menyemak gaji pengerusi lembaga pengarah di kesemua badan berkanun dan GLC, berikutan kebimbangan yang timbul berhubung gaji Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Abullah Ahmad, yang dikatakan menerima gaji sehingga RM80,000 sebulan.
Sumber : MI
0 Comments