Pemuda Amanah Tidak Bersetuju Dengan Tindakan LGE


Pemuda AMANAH hari ini turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kementerian kewangan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam Bahasa Mandarin.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa mewakili seluruh rakyat Malaysia dan ia menjadi bahasa rasmi yang digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan.

"Pemuda AMANAH Nasional turut bertanggungjawab melahirkan rasa kesal terhadap polemik yang sedang berlaku melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
"Bagi kami, mana-mana kementerian hanya perlu mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mereka di dalam Bahasa Melayu sahaja seperti yang dipraktikkan sebelum ini kerana ia mewakili keseluruhan kaum di dalam negara ini.
"Ia sewajarnya menjadi ketetapan dan prosedur yang perlu dipatuhi oleh semua pihak terutama kementerian dan agensi yang bernaung di bawah kerajaan," jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya manifesto Pakatan Harapan sebelum ini menegaskan Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskannya sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau.

"Penegasan itu adalah bukti komitmen kerajaan persekutuan yang baru ini untuk mengangkat semangat perpaduan dan mengiktiraf keagungan Bahasa Melayu di dalam negara ini," tegasnya.

Katanya, kecuaian yang berlaku tidak sewajarnya dipertahankan mana-mana pihak kerana ia tidak membawa semangat yang dibawa oleh kerajaan persekutuan dalam membawa Malaysia Baru.

"Pemuda AMANAH Nasional mengharapkan agar seluruh pimpinan dan parti pemerintah mendukung komitmen untuk membina Malaysia Baru yang benar-benar baru," tegasnya.

Sumber : MK

Post a Comment

0 Comments