Dalam usaha menyekat gejala mencaci dan memaki semua agama di negara ini, kerajaan bakal memperkenalkan Akta Kebencian Agama dan Kaum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, akta itu bagi melindungi semua agama di negara ini.

"Akta ini bukan saja untuk orang Islam tetapi bagi menjamin agama dan kaum yang ada serta di negara ini," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.

Ismail, dalam soalannya, ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang menggubal undang-undang bagi melindungi agama Islam yang sering dicaci di laman sosial sejak kebelakangan ini.

Mujahid berkata, akta itu bukan saja akan mendidik rakyat menghormati agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi juga agama lain.

Sumber : MK