BERSIH membidas pesta durian anjuran sebuah koperasi berkaitan kerajaan Selangor di kawasan pilihan raya kecil Sungai Kandis, yang bakal menampilkan Menteri Besar, Amirudin Shari dan calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni.

Menurut hantaran oleh Koperasi Hijrah Selangor (Kohijrah) di Facebook “kita belanja durian kampung dari Batu Kurau, Perak” sempena perasmian karnival trak makanan di Seksyen 32, Shah Alam.

Hantaran itu menyebut Amirudin akan melancarkan program berkenaan, yang juga akan menampilkan Zawawi sebagai "jemputan khas".

Kohijrah dikaitkan dengan Hijrah Selangor, yang adalah program mikro kredit untuk usahawan oleh kerajaan negeri Selangor.

BERSIH berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa program itu adalah satu amalan korupsi dan bertentangan dengan undang-undang pilihan raya.

“BERSIH 2.0 menolak amalan korupsi tersebut, dan sekiranya diadakan, ia bertepatan dengan salah laku pilihan raya di bawah Perkara 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana melibatkan penjamuan untuk mempengaruhi undi daripada para pengundi.
“Dengan menjadikan Kohijrah sebagai penganjur, ia bukan sahaja satu bentuk konflik kepentingan, bahkan ia juga satu bentuk penyalahgunaan jentera kerajaan untuk membantu kempen Zawawi Mughni, calon PKR yang merupakan salah satu parti komponen bagi pakatan pemerintah di Selangor, iaitu Pakatan Harapan,” katanya.

Sehubungan itu, BERSIH menuntut agar program itu dibatalkan segera, dan untuk Amirudin dan Zawawi tampil memberikan penjelasan kepada umum tentang program itu.

Katanya, jika program ini tidak dibatalkan dan aktiviti “belanja durian” itu diteruskan semasa kempen pilihan raya, SPRM perlu menyiasat dan mengambil tindakan selaras dengan Seksyen 3 dan 7 di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

BERSIH menggesa semua pihak untuk mengelakkan diri daripada amalan penipuan pilihan raya,
termasuk penjamuan makanan.

“Jikalau agensi kerajaan ingin menganjurkan program yang melibatkan calon pilihanraya, semua calon-calon yang bertanding patut di jemput dan diberikan layanan yang saksama.
“Semua agensi-agensi kerajaan patut bersikap neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana pada setiap masa,” kata BERSIH.

Kumpulan NGO pemantau pilihan raya itu turut mengingatkan HARAPAN untuk menegakkan manifesto yang dijanjikan untuk membanteras rasuah di Malaysia, dan rakyat mengundi mereka untuk menyingkirkan kerajaan yang korup.

Sumber : MK