Program Biro Tatanegara (BTN) kini digantung sementara menunggu proses penambahbaikan, kata ketua pengarahnya Tan Sri Ibrahim Saad.

Menurut laman The Malaysian Insight, Ibrahim berkata proses itu melibatkan silibus, sumber manusia dan penstrukturan semula unit itu.

Pada masa ini, semua kegiatan BTN telah digantung. Kami menunggu arahan selanjutnya dari Jabatan Perdana Menteri...Akan ada penilaian terhadap tenaga kerja dan penstrukturan semula, katanya seperti dipetik.

Sumber lain yang dipetik laman itu pula berkata kerajaan tidak akan memansuhkan BTN seperti gesaan beberapa pihak, tetapi menstrukturkannya semula dengan tujuan meningkatkan produktiviti penjawat awam.

Mereka sedang melihat silibus Jepun bagi meningkatkan produktiviti. BTN akan digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan awam dari dalam, katanya seperti dipetik.

Rasionalisasi struktur yang dijalankan kerajaan mengekalkan agensi kerajaan itu bawah Jabatan Perdana Menteri, bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ke-14.

Ia menimbulkan kritikan beberapa pihak termasuk ADUN Bukit Tengah dari PKR, Gooi Hsiao Leung, yang menyifatkan ia sebagai "raksasa ciptaan BN yang perlu dibunuh.

Beliau bagaimanapun setuju jika kerajaan mengubah matlamat BTN kepada pengukuhan perpaduan negara.

Malah baru dua hari lalu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengatakan agensi itu akan dimansuhkan dalam masa terdekat.

BTN sebelum ini dikritik banyak pihak antaranya pembangkang dahulu yang antara lain menyifatkan agensi kerajaan itu menjadi alat politik BN bagi menanam kesetiaan terhadap mereka serta menghalang perpaduan kaum.

Sumber : MK