Dana SKMM RM 25Juta Projek 1Malaysia Diseleweng!


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bernilai hampir RM25 juta yang diluluskan untuk projek 1Malaysia Negaraku.

Menurut sumber, dana tersebut diluluskan untuk kira-kira 10 projek bawah 1Malaysia Negaraku tetapi semua projek itu tidak dilaksanakan.

Katanya, siasatan mendapati seorang pegawai kanan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) terlibat dalam hampir semua projek itu.

Menurut sumber, pegawai kanan terbabit dipercayai diarah oleh bekas menteri komunikasi dan multimedia untuk menguruskan perolehan dan pembayaran berkaitan projek itu di Finas, kerana beliau mempunyai kuasa untuk menandatangani surat tawaran kepada syarikat yang dilantik melalui arahan menteri.

“Pegawai kanan tersebut juga dikatakan bersekongkol dengan syarikat terbabit dengan meluluskan semua pembayaran bagi projek yang tidak dilaksanakan.
“Menteri terbabit ketika itu juga mengarahkan pegawai kanan terbabit supaya dana SKMM hampir RM25 juta digunakan untuk projek ini,” katanya.

Menurut sumber, SPRM hari ini pergi ke semua syarikat terbabit untuk mengambil dokumen, dan juga merakam percakapan 4 individu termasuk ketua pengarah Finas dan pegawai SKMM bagi membantu siasatan.

Setakat ini, SPRM mengenal pasti lebih 70 individu bagi membantu siasatan, katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes ini, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sumber : FMT


Post a Comment

0 Comments