Kerajaan Lepas Tidak Salurkan Peruntukan #MyBrain, Hanya Langkah Politik ?


Penangguhan Program Biasiswa MyBrain dibuat sementara mendapat kelulusan peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Kementerian Kewangan dan EPU pada waktu ini mungkin sedang melihatkan kepentingan terhadap beberapa isu terdahulu.

Kita perlu ketahui bahawa program MyBrain melibatkan lebih 10,000 di kalangan mereka yang menerima. Jadi apa yang berlaku ialah kerajaan sebelum ini telah menjanjikan RM90 juta peruntukan tetapi ia tidak pernah sampai lagi kepada Kementerian Pendidikan. Ia langkah politik daripada kerajaan lepas.
RM90 juta itu sebenarnya tidak cukup untuk menampung keseluruhan pengajian penerima tersebut. Keseluruhan kos yang perlu ditampung ialah RM612 juta. Dan ini memberikan implikasi kewangan yang besar," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di sini, hari ini.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia merupakan hasil penglibatan masyarakat dan penyelidikan meluas yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan.

Ia dibangunkan dengan tiga objektif khusus, iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa sistem
pendidikan Malaysia, mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem pendidikan dan menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam Kementerian.

Dalam pada itu jelas Maszlee, pihaknya tidak akan melupakan kira-kira 10,000 penerima MyBrain sedia ada

Kita tidak melupakan penerima MyBrain. Di pihak KPM 10,000 yang akan melanjutkan pelajaran ini kita tidak akan lupa. Cuma keputusan bukan di tangan kami.
Saya akan terus membantu dan akan terus memastikan bahawa kita akan berikan kerjasama, penerima tidak dilupakan. Jadi mereka perlu bersabar. Ia bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.

Pada 25 Julai lepas, menerusi program 'Bicara Khas Bersama Menteri' terbitan RTM, Maszlee memaklumkan bahawa program MyBrain iaitu skim pembiayaan pendidikan oleh Kementerian Pendidikan untuk Sarjana (Master) dan Kedoktoran (PHD) ditangguhkan.

Jelasnya, program tersebut ditangguh kerana kerajaan sebelum ini meninggalkan hutang yang begitu banyak.

Sumber : astroawani

Post a Comment

0 Comments