PRK Sungai Kandis - Kenali Calon BN VS Calon PH


Dari kaca mata rakan gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) kemunculan Datuk Lokman Nor Adam sebagai calon BN pada  Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, tidaklah ‘sehebat’ perjuangan politik yang panjang dilaluinya ketika bersama perjuangan reformasi, PKR dan kembali semula kepangkuan Umno.

Justeru kemunculan susuk tubuh Lokman Adam,42, ini mengimbas semula ingatan Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Mohd Tahir yang dulu adalah bekas Setiausaha Agung Parti KeADILan Nasional (KeADILan).

“Saya kenal siapa beliau diperingkat awal perjuangannya  dalam Umno kemudian menyertai KeADILan, jadi orang kuat Ezam Mohd Noor. Tapi apabila KeADILan tidak capai kemenangan pilihan raya ketika itu dia meninggalkan perjuangan reformasi. Jika dia sertai kembali Umno bukan menyertai mana-mana parti dalam BA (Barisan Alternatif) ia memberikan gambaran buruk sebagai calon BN di Sungai Kandis hari ini.
“Apabila kembali kepada Umno, dia memainkan peranan di sana dengan memberikan gambaran yang buruk kepada ‘gurunya’ Datuk Seri Anwar  Ibrahim dan Pakatan Harapan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline ketika ditemui di Dewan Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini, mengiringi calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Lokman Nor Adam mula dikenali selepas beliau dipecat daripada Umno kerana menegur kepimpinan presiden parti  ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad yang ada hubungkait dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Beliau berjuang dalam gerakan reformasi selepas dipecat dari Umno dan pernah ditahan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama beberapa pemimpin KeADILan ketika itu seperti bekas Naib Presiden KeADILan, Tian Chua; Ketua Pemudanya, Mohamad Ezam Mohd Nor; Setiausaha Pemuda N. Gobalakrishnan dan pemimpin Pemuda Keadilan, Dr. Badrul Amin Baharom pada 2001.

Mohd Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu diminta mengulas mengenai kewajaran Umno meletakkan Presiden Pemantau Malaysia Baru itu untuk berhadapan dengan Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh  calon PKR.

Justeru kata Mohd Anuar lagi, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan calon BN itu melainkan ‘jasa’ besarnya pada Umno kerana menghentam, mencaci dan sengaja mencari kesalahan kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah hari ini.

“Jika beliau dianggap masih muda oleh kepimpinan Umno, ini menunjukkan Umno tidak berubah walaupun selepas kalah teruk pada PRU14.
“Saya rasa dengan meletakkan beliau sebagai calon mengambarkan sikap Umno itu sendiri di bawah kepimpinan Presidennya (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kerana masih meneruskan legasi yang ada (kepimpinan terdahulu) tidak nampak jalan Umno untuk berubah,” ujar Mohd Anuar yang juga bekas ahli Umno sebelum menyertai gerakan reformasi  dan menyertai KeADILan ketika di awal penubuhan parti serpihan Umno itu pada 1998.

Bagi Mohd Anuar pemilihan calon PKR dengan latarbelakang akademik, agama yang baik, serta anak tempatan Dun Sungai Kandis peluang untuk PH mengekalkan kerusi tiga penggal melihat kepada majoriti kemenangan penyandangnya Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie pada PRU14 lalu.

“Calon diputuskan PH oleh PKR adalah seorang calon yang baik (bersih). Beliau tidak ada legasi politik, tiada terlibat dalam khianat politik, seorang ilmuan berakhlak tinggi jadi ruang untuk Pakatan Harapan di Selangor menang PRK dilihat cerah,” ujarnya menaruh harapan kerusi Dun Sungai Kandis akan kekal disandang calon PKR itu.

Ditanya tentang peranan Pas dalam PRK Sungai Kandis yang memberi laluan kepada BN, Mohd Anuar berkata, tindakan Pas itu sudah lama dijangkakan.

“Pada masa PRU 14 mereka (Pas-Umno) berpakat memecahkan undi pada kali ini beri pula laluan mudah kepada Umno dengan tidak bertanding. Pas tiada pilihan lain hanya mampu jalin persahabat dengan Umno.
“Rakyat sedang memerhatikan parti yang berpegang kepada Al-Quran itu tetapi adakah bersama-sama umat Islam untuk mengamalkan yang makruf menolak yang mungkar?” soalnya yang dipercayai ditujukan kepada kepimpinan kleptokrat Umno-BN.

Katanya lagi, hari demi hari kenampakan dengan jelas Pas menunjukkan persaudaraan erat dengan umno-BN semata-mata untuk survival politik mereka.

“Jadi PRK Sungai Kandis ini tidak akan mengubah apa-apa rakyat tetap memilih calon Pakatan Harapan. Ini kerana sudah tiga penggal PH di Selangor tiada sebab rakyat menolak…saya pasti majoriti kemenangan dalam PRU14 itu akan bertambah dalam PRK Sungai Kandis kali ini,” ujarnya.

Sumber : MD

Post a Comment

0 Comments