Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dilaporkan telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber yang rapat dengan kes itu memberitahu Malaysiakini Hasanah disiasat berhubung kehilangan wang berjumlah jutaan ringgit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan itu dan berkata Hasanah akan disiasat menurut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tetapi berkata Hasanah akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman esok.

Seksyen 23(1) berhubung penggunaan jawatan awam untuk mendapatkan suapan yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan pegawai keselamatan Jabatan Perdana Menteri didakwa mengambil wang tunai berjumlah RM3.5 juta daripada pejabat bekas perdana menteri Datuk Seri najib Razak pada malam 9 Mei lalu, selepas mendapat tahu BN telah kalah PRU ke-14.

Wang itu dikatakan dana pilihan raya Umno.

Menjelang PRU ke-14, Hasanah menulis surat kepada CIA meminta kerajaan Amerika Syarikat menyokong Najib dan BN jika "menang tipis" pada pilihan raya itu.

Surat itu bertarikh 4 Mei 2018 dan menggunakan kepala surat MEIO.

Kes itu kini dalam siasatan polis.

Sumber : MK