Kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kos penyelengaraan kapal Equanimity mencecah RM 2 juta sebulan dan oleh sebab itu kerajaan bercadang menjualnya secepat mungkin.
Tambah beliau lagi, kapal mewah itu perlu dijaga dengan baik dan tidak dibuka kepada umum supaya ia dapat dijual kepada pembeli yang berminat.
Kapal Equanimity yang didakwa milik Jho Low yang dibeli dengan menggunakan duit 1MDB diserahkan kepada Malaysia oleh pihak Indonesia pada 7 Ogos lalu setelah kapal itu disita oleh pihak polis negara jiran itu pada 26 Februari 2018 atas permohonan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
Ini bermakna sudah 5 bulan kapal itu berada di bawah jagaan kerajaan Indonesia sebelum diserahkan kepada kerajaan Malaysia. Tidak diketahui siapakah yang membiayai kos penyelengaraan Equanimity selama 5 bulan yang lepas sejak ia disita oleh kerajaan Indonesia.
Terdapat juga ura-ura yang menyatakan kerajaan Indonesia tidak sanggup membelanjakan duit untuk menyelenggara Equanimity lalu diserahkan kapal mewah ini kepada Malaysia untuk dijaga. Namun perkara ini tidak dapat disahkan.
Apapun kini Equanimity sudah berada di tangan Malaysia dan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menjaganya dengan perbelanjaan RM2 juta sebulan.
Persoalannya apakah Equanimity dapat dijual dengan mudah?
Pada bulan April lalu, hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan mendapati kapal layar berkenaan merupakan milik sah Equanimity (Cayman) Ltd dan memerintahkan supaya kapal terbabit dikembalikan kepada pemohon (Equanimity Cayman) selaku pemiliknya.
Tiga bulan kemudian, polis Indonesia sekali lagi merampas Equanimity pada bulan Julai yang lalu juga atas permohonan DOJ sebelum diserahkan pada Malaysia pada 7 Ogos yang lalu.
Persoalannya, bolehkah kerajaan Malaysia menjual Equanimity sebelum proses mahkamah menentukan siapa pemilik sebenar Equanimity selesai?
Jika Equanimity (Cayman) Ltd terus menfailkan tuntutan balas terhadap hasil jualan Equanimity, berapa lamakah proses ini akan berlangsung dan siapakah yang akan membiayai kos penyelenggaraan kapal mewah itu yang kini berada di Pulau Indah sepanjang waktu tuntutan ini? Apakah duit rakyat akan digunakan untuk membiayai kos tersebut?
Persoalan lebih besar ialah dengan latar belakang proses undang-undang yang sebegitu rumit, dan nama Equanimity yang sudah diburukkan seluruh pelosok dunia bersama skandal 1MDB, maka siapakah yang sanggup memiliki kapal mewah yang terlalu sensasi beritanya itu meskipun ia ditawarkan pada harga yang sangat murah?
Ini kerana pembeli kapal mewah juga bakal berhadapan dengan kes tuntutan terhadap kapal ini oleh Equanimity (Cayman) Ltd yang mungkin panjang proses undang-undangnya.
Lebih teruk, peribadi pembeli dan sumber duit yang digunakan untuk membeli kapal mewah ini juga terdedah kepada perhatian media yang tidak perlu.
Diharap Equanimity tidak menjadi bangkai biawak yang perlu dipikul rakyat Malaysia buat satu tempoh yang panjang hanya kerana ada pihak yang ingin terus meraih mata politik terhadap BN dan Datuk Seri Najib Razak secara berpanjangan bagi menutup kegagalan menunaikan janji-janji pilihanraya.
Sumber : FMT
1 Comments
hahahahaha.... suruh jer anak2 kroni baru beli... hahahahaa
ReplyDelete